fbpx

Syarikat umrah diberi taraf gred, elak tipu jemaah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jemaah umrah melakukan saie pada hari pertama bulan Ramadan di Mekah pada 23 Mac lalu. - AFP

PUTRAJAYA- Semua syarikat pengendali umrah berlesen akan dikelaskan mengikut gred bagi mencegah insiden penipuan pakej umrah mulai tahun depan.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, perkara itu akan dilaksanakan dengan kerjasama persatuan-persatuan umrah diikitiraf iaitu Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh).

Menurutnya, tujuan penggredan itu bagi memastikan syarikat berlesen memenuhi kriteria tertentu antaranya mempunyai status kewangan baik dan menempah tiket penerbangan serta bilik penginapan lebih awal sebelum mengiklankan promosi.

“Selain itu, syarikat-syarikat umrah itu perlu mengadakan perjanjian bertulis dengan setiap jemaah.

“Syarat-syarat berkaitan lain akan diumumkan sebaik sahaja mekanisme pelaksanaan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini tadi.

Jelas MOTAC, pihaknya sentiasa melaksanakan fungsi-fungsi pelesenan dan penguatkuasaan kepada industri pelancongan secara cekap dan berkesan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

Katanya, ini termasuk Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 [Akta 594] serta peraturan-peraturan di bawahnya.

“Antara lain mengemas kini senarai amaran entiti yang melanggar Akta 482 bertujuan memaklumkan kepada masyarakat tentang syarikat pelancongan yang digantung atau dibatalkan lesen dan pihak yang menjual pakej pelancongan tidak berlesen.

“Senarai ini juga akan menjawab persoalan daripada beberapa persatuan umrah untuk mendedahkan agensi umrah yang bermasalah dan tidak berlesen,” katanya.

Senarai nama syarikat yang dimaksudkan boleh didapati dengan melayari di https://www.motac.gov.my/semakan/senarai-entitisyarikat-tidak-berlesen. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI