fbpx

Kadar Bantuan Am Negeri JKM ringankan beban rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dan operasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed (empat dari kiri) dan Nor Tipah (dua dari kanan) menyantuni golongan OKU di Kampar baru-baru ini.

IPOH – Keputusan kerajaan ne­geri Perak untuk meningkatkan kadar semasa Bantuan Am Ne­geri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM300 kepada RM400 bermula bulan hadapan memberi kelegaan kepada golo­ngan penerima.

Pengarah JKM negeri, Nor Tipah Majin berkata, langkah yang diambil kerajaan ne­geri itu tepat pada masanya memandang­kan kos sara hidup merupakan satu isu yang turut membelenggu rakyat ketika ini termasuk penerima bantuan.

“Kos sara hidup turut dihadapi oleh golongan penerima bantuan ini seperti warga emas dan orang kelainan upaya (OKU). Penjagaan golongan tersebut turut melibatkan wang, jadi kenaikan (bantuan) tersebut dilihat ber­upaya meringankan beban mereka atau penjaga.

“Peningkatan bantuan ini kelak bakal melegakan keresahan penerima yang berhadapan de­ngan masalah untuk menampung keperluan asas seperti makanan, melunaskan bayaran bil utiliti dan lain-lain keperluan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada ming­gu lalu mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk menaikkan kadar semasa bantuan JKM di bawah Belanjawan Negeri Perak 2024.

Belanjawan berjumlah RM1.35 bilion iaitu yang tertinggi dalam sejarah negeri itu sebahagian besarnya memberi tumpuan khusus bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan mensejahterakan rakyat.

Meneruskan tema Perak Makmur, Rakyat Sejahtera sebagai kesinambungan pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030, Belanjawan Perak 2024 memperuntukkan sebanyak RM491 juta untuk belanja pembangunan, manakala RM856 juta bagi belanja mengurus.

Mengulas lanjut, Nor Tipah berkata, beliau juga menyambut baik keputusan kerajaan negeri untuk mengguna pakai garis panduan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan Isi Rumah RM1,198 berbanding RM1,169 pada masa ini sebagai syarat kelayakan bantuan kewangan JKM.

“Kita menerima banyak permohonan daripada orang ramai. Bagaimanapun, tidak semua pemohon tahu jenis bantuan yang layak diterima mereka kerana ia bergantung kepada kelayakan serta kesesuaian.

“Skim Bantuan Kewangan JKM meliputi 11 jenis bantuan, antaranya, Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB), Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar (BPT), Bantuan Warga Emas (BWE) dan Bantuan Am (BA),” katanya.

Tambah beliau, terdapat beberapa matlamat pemberian bantuan tersebut, antaranya memenuhi keperluan asas bagi meringankan beban penerima serta sebagai alat sokongan sosial untuk menilai kemampuan pe­nerima bantuan ke arah berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan.

“Ia juga berperanan sebagai alat pemulihan agar penerima bantuan terus kekal tinggal bersama komuniti atau masyarakat, selain menjadi sumber kewa­ngan sementara mereka bagi meneruskan kelangsungan dan ke­sejahteraan hidup,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI