fbpx

Pakej eko-pelancongan semarakkan Tahun Melawat Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Amin (tengah) dan Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi (dua dari kiri) melihat pakej eko-pelancongan Perlis yang ditawarkan Tourism Malaysia di Galeri Gua Kelam, Padang Besar hari ini.

PADANG BESAR – Tahun Melawat Perlis 2024/2025 dijangka menerima peningkatan pelancong dalam dan luar negara selepas Tourism Malaysia melancarkan pakej minat khas eko-pelancongan Perlis di sini hari ini.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Mohamed Amin Yahya berkata, pihaknya menyediakan pakej pelancongan minat khas itu susulan Bengkel Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Segmen Minat Khas Eko Pelancongan Negeri Perlis pada September lalu.

“Eko-pelancongan adalah aktiviti minat khas menggalakkan pelancongan mampan dan bertanggungjawab selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai ‘Top of The Mind Ecotourism Destination of the World’.

“Usaha ini juga selaras komitmen Malaysia terhadap Agenda 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya kepada pemberita semasa program pakej pelancongan itu di Galeri Gua Kelam di sini hari ini.

Menurut Mohamed Amin, produk eko-pelancongan diharapkan dapat menjadi pemangkin bagi memperkenalkan lebih banyak tarikan produk pelancongan lain di negeri Perlis.

Pakej eko-pelancongan Perlis merangkumi 41 pakej kecil dengan Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama bersama lapan pengusaha pelancongan tempatan menggabungkan elemen eko-pelancongan, gastronomi, dan pengembaraan lasak.

“Pada tahun 2022, jumlah pelancong domestik direkodkan sebanyak 171.6 juta orang berbanding 2021 sebanyak 66 juta orang, peningkatan sebanyak 160.1 peratus dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM64.1 bilion berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM18.4 bilion.

“Perlis pula mencatatkan ketibaan pelancong sebanyak 710,991 orang pada tahun 2022 dan dengan adanya pakej eko-pelancongan Perlis ini, ketibaan pelancong untuk tahun 2024/2025 akan melonjak dengan lebih baik lagi selaras penganjuran Tahun Melawat Negeri Perlis,” katanya.

Tambahnya lagi, pakej-pakej ditawarkan meliputi lokasi menarik seperti Wang Kelian Viewpoint, Tasik Timah Tasoh, Gua Kelam, Gua Wang Burma, Air Terjun Bukit Ayer, Bukit Keteri, Banjaran Nakawan, Tasik Melati dan sebagainya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI