Pejam celik tahun 2023 hampir melabuhkan tirainya dan tidak sampai sebulan lagi 2024 bakal menjengah.
Ramai juga rasanya sudah mula sibuk merancang percutian masing-masing, baik di dalam mahupun ke luar negara. Agensi pelancongan rancak menawarkan pakej-pakej menarik sama ada untuk percutian pada hujung tahun dan awal tahun depan.
Maklumlah setelah setahun penat mencari rezeki, apa salahnya kalau membahagiakan diri dengan melawat tempat-tempat percutian menarik mengikut bajet masing-masing. Pun begitu, jangan dilupa, setiap kali masuk tahun baharu, pastinya banyak juga perbelanjaan yang perlu dibereskan.
Bagi mereka yang mempunyai anak bersekolah tidak kiralah sama ada di tadika, sekolah rendah, mahupun sekolah menengah, perlu sediakan wang secukupnya.
Bayaran pendaftaran anak-anak ke tadika atau sekolah agama swasta sahaja misalnya, pasti akan menelan kos RM1,500 ke RM2,000 seorang.
Bagi sesi persekolahan biasa juga memerlukan ibu bapa memperuntukkan sejumlah wang dalam jumlah yang agak tinggi untuk menyediakan pakaian dan peralatan sekolah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai anak yang ramai.
Itu belum termasuk bayaran lain yang mungkin perlu dilunaskan serentak pada awal tahun seperti cukai pintu, insurans kenderaan, kad kredit dan macam-macam lagi. Kalau tak kena cara, boleh terduduk dibuatnya.
Kepada mereka yang melakukan persediaan dengan membuat tabungan sejak awal, mungkin tekanan untuk membayar semua perbelanjaan itu tidaklah dirasai sangat walaupun bukan daripada golongan berpendapatan sederhana atau rendah.
Namun, keadaan mungkin sebaliknya jika banyak pendapatan dibelanjakan ke tempat yang tidak sepatutnya, walaupun sesetengah mereka terdiri daripada golongan berpendapatan agak tinggi.
Malah, tidak pelik apabila ada dalam kalangan mereka yang terpaksa berhutang untuk melunaskan bayaran persekolahan anak masing-masing.
Pokok pangkalnya, perkara yang terbaik bagi kebanyakan kita yang pendapatan tidak berapa besar ini ialah perlu menyediakan tabungan mengikut kemampuan masing-masing.
Jika boleh, menabunglah melalui pelaburan yang dijamin kerajaan dan berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Tabung Haji. Selain mempunyai simpanan kita juga akan memperoleh dividen atau bonus setiap hujung tahun.
Paling penting ukur baju di badan sendiri, urus perbelanjaan dengan baik dan berbelanja ikut kemampuan. Jangan sampai tiada tabungan kerana kita tidak tahu apa yang bakal terjadi pada masa depan.
Bagi mereka yang telah menabung di ASB dan Tabung Haji pula, sudah tentu mengharapkan kadar dividen atau bonus yang lebih baik tahun ini.
Kadar dividen yang baik sedikit sebanyak dapatlah digunakan kebanyakan pendeposit untuk menampung perbelanjaan di waktu terdesak selain dapat menarik lebih ramai untuk turut menabung baik di ASB mahupun di Tabung Haji.














