fbpx

Kontrak ditamatkan, Kaka Azraff tuntut penjelasan syarikat rakaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAKA Azraff kecewa apabila kontraknya bersama Warner Music Malaysia ditamatkan secara tiba-tiba tanpa memaklumkan sebarang alasan. - FOTO MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

PETALING JAYA – Penyanyi Kaka Azraff menuntut syarikat rakaman Warner Music Malaysia memberi penjelasan berhubung penamatan kontraknya secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan munasabah.

Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 34, berkata notis yang diterima sebelum ini tidak menyatakan sebarang alasaN label terbabit menamatkan perjanjian mereka pada 31 Disember ini.

“Saya sudah terima (surat), tetapi alasan kenapa tindakan itu dibuat langsung tidak dinyatakan, itu buat saya terkilan.

“Tiada perancangan untuk ambil tindakan undang-undang, kalau boleh mahu minta secara rasmi beritahu sebab saya diberhentikan.

“Saya harap ada kenyataan rasmi daripada pihak berkenaan, itu lebih baik,” katanya ketika ditemui pada sidang media khas bersama peguamnya Tetuan Amelda Fuad Abu & Aidil, di sini malam ini.

Menurut Kaka lagi, sebagai antara penyanyi paling lama bernaung di bawah label berkenaan, sepatutnya pihak terbabit mempunyai pertimbangan wajar dengan memperincikan alasan mereka.

“Sebagai salah seorang artis rakaman dan antara yang paling lama di Warner Music Malaysia, saya percaya, paling kurang saya seharusnya diberikan sebab rasmi mengapa pengurusan label ini memutuskan untuk menamatkan kontrak kami.

“Saya tidaklah terkilan apabila kontrak ditamatkan kerana percaya rezeki Allah itu luas, tapi kecewa ditamatkan sedemikian rupa dan secara mengejut tanpa ada ruang perbincangan, walaupun tempoh notis diberikan adalah selama 30 hari,” katanya.

Ditanya sama ada pernah bersemuka dengan pihak syarikat rakaman tersebut, Kaka berkata pertemuan berlaku pada 30 November lalu namun mereka hanya memintanya menandatangani surat penamatan kontrak.

“Kami ada berjumpa tapi bukan berbincang. Saya pun tidak tandatangani surat berkenaan sebab perlu perhalusi terma bersama peguam memandangkan mereka menegaskan tindakan saya bersuara tentang Palestin bercanggah dengan polisi global,” katanya.

Mengulas tindakan tersebut, penyanyi berusia 34 tahun itu berkata, dia hanya membalas hantaran menerusi mesej langsung (DM) kepada pelakon Australia, Nathaniel Buzzolic, sekali gus menolak dakwaan kononnya menyebarkan ucapan kebencian (hate speech).

“Saya bukan antisemitik dan tidak bersifat perkauman seperti yang diuar-uarkan pihak tersebut. Saya hanya meluahkan pendapat peribadi terus kepada individu itu, bukan memberikan komen secara terbuka.

“Saya akui, mungkin pilihan kata-kata saya agak keras, tetapi itu menggambarkan kemarahan saya pada waktu itu (bahkan sehingga kini pun), menyaksikan ketidakadilan dan kekejaman yang berlaku di hadapan mata seisi dunia pada waktu ini.

“Mungkin, saya seharusnya memilih kata-kata yang lebih sopan, saya tidak nafikan hal itu. Tapi saya sudah katakan dan saya tidak ingin memandang ke belakang,” ujarnya.

Sementara itu, peguam mewakili Kaka iaitu Aidil Khalid berkata, ketidakadilan secara terang-terangan berlaku apabila kontrak hanya memberikan keuntungan kepada pihak label, malah Warner Music Malaysia turut meletakkan klausa baharu.

“Kita buka ruang untuk berbincang dengan Warner Music Malaysia sebab lepas penamatan kontrak ada kesan terhadap Kaka. Kalau perbincangan itu berjalan dengan baik, kami boleh selesaikan dengan baik.

“Kalau sukar mendapatkan persetujuan maka kemungkinan akan ada pemfailan kes di mahkamah tapi masih terlalu awal untuk bercakap soal itu,” katanya.

Tambah Aidil, perjanjian rakaman antara Kaka Azraff dan Warner Music Malaysia sepatutnya masih berbaki beberapa tahun lagi, dengan pilihan untuk diperbaharui dan dilanjutkan dari semasa ke semasa, seperti mana kontrak-kontrak sebelum ini, di kedua-dua pihak sejak dari 2018 lagi.

“Bagaiamanapun, pada 1 Disember iaitu pada hari Jumaat yang lalu, Kaka diserahkan satu Notis Penamatan oleh pihak pengurusan Warner Music Malaysia.

“Seperti yang dapat diteliti, Notis Penamatan berkenaan hanya memaklumkan bahawa perkara itu akan berkuatkuasa pada 31 Disember 2023 (iaitu tempoh notis selama 30 hari), tetapi tidak menyatakan sebab-sebab mengapa ia ditamatkan.

“Namun demikian, di pihak peguam, memandangkan seperti yang dinyatakan tadi, tiada sebarang sebab munasabah yang diberikan pengurusan label terbabit dalam Notis Penamatan tersebut. Maka kami meminta syarikat rakaman itu untuk memperjelaskan perkara ini, adakah benar penamatan ini  disebabkan DM Kaka yang bersimpati dan bersolidariti dengan rakyat Palestin serta menempelak Israel?

“Sekiranya tidak benar, maka sila nafikan dan berikan sebab mengapa penamatan kontrak Kaka Azraf diputuskan sedemikian,” katanya.

Terdahulu, kontrak Kaka bersama Warner Music Malaysia didakwa ditamatkan gara-gara kelantangannya mengecam tindakan tidak berperikemanusian dilakukan Israel terhadap Palestin.

Kemelut Kaka bersama syarikat pengurusan kontrak rakamannya itu tercetus selepas dia meninggalkan komen mengecam perkongsian Buzolic dalam Instagram Story.

Tindakannya meraih perhatian pempengaruh popular tersebut yang kemudian memuat naik semula tangkap layar butiran mesejnya.

“Kerana Israel adalah orang yang memulakan (perang). Israel mencuri tanah mereka dan kini bertindak seperti mereka mangsa?” tulisnya.

Gara-gara kenyataan tersebut, bukan hanya pensohor terbabit, sebuah laman sosial bawah nama Jew Hate Database turut menyenaraikan nama Kaka sebagai antisemitik.

Difahamkan, kontrak antara penyanyi terbabit dengan Warner Music Malaysia ditamatkan walaupun sepatutnya berakhir pada April tahun depan. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI