fbpx

Konflik Palestin-Israel: Zionis arah penduduk selatan Gaza berpindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEJUMLAH penduduk Palestin berpindah dari Khan Younis ke Rafah, kelmarin.- Foto AFP

BANDAR GAZA – Tentera Israel mengarahkan satu perlima penduduk bandar Khan Younis di selatan Gaza supaya berpindah ketika Rejim Zionis meluaskan serangan darat terhadap kumpulan Hamas, lapor portal berita Perbadanan Penyiaran British (BBC) kelmarin.

Sebuah peta menunjukkan arahan perpindahan Israel itu melibatkan enam kawasan di utara dan tengah Khan Younis melibatkan seramai 167,000 penduduk.

Saksi- saksi melaporkan, mereka melihat sejumlah kereta kebal di timur Khan Younis, manakala seorang doktor berkata, sebuah hospital tempatan dipenuhi pesakit dan orang awam telah menjadi sasaran bedilan Rejim Zionis.

Saksi dan wartawan tempatan di Gaza melaporkan bahawa mereka kereta kebal Israel dan kenderaan perisai Israel di pinggir timur Khan Younis, paling hampir dengan pagar sempadan Israel.

Moaz Mohammed memberitahu agensi berita AFP bahawa dia melihat sejumlah kereta kebal bergerak menuruni sebuah lebuh raya utama utara-selatan yang merupakan salah satu daripada dua laluan pemindahan yang ditetapkan Israel.

Kereta-kereta kebal itu melepaskan tembakan bedilan ke arah kereta dan orang awam yang cuba bergerak melalui kawasan di antara bandar Deir al-Balah dan Khan Younis, katanya.

Pada masa sama, tentera Israel memberi amaran kepada orang awam supaya mengelak sebahagian Jalan Salah al-Din di kawasan sama dengan alasan kawasan itu bertukar menjadi ‘medan perang’ yang sangat berbahaya.

Tentera Rejim Zionis juga menyiarkan peta yang mengarahkan penduduk di enam kawasan kejiranan utara dan tengah Khan Younis iaitu al-Mahatta, al-Katiba, Hamad, al-Satir, Bani Suheila serta Ma’in untuk segera meninggalkannya bagi tujuan keselamatan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kawasan yang bertanda di Khan Younis didiami hampir 117,000 orang sebelum perang antara Israel dengan Hamas meletus.

Ia juga termasuk 21 tempat perlindungan di mana 50,000 orang yang berpindah dari utara Semenanjung Gaza kini tinggal di Khan Younis.

Ketua jurucakap Tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, tentera Rejim Zionis beroperasi dengan kekuatan maksimum dalam misi untuk menghapuskan pejuang Palestin dan infrastruktur Hamas.

“Kami menggugurkan risalah dengan Kod Respons Pantas (QR) yang menjadi panduan kepada penduduk Gaza ke kawasan lebih selamat. Peta itu dibahagikan kepada nombor kejiranan yang menunjukkan ke mana orang awam di kawasan tertentu harus pergi untuk mengelak daripada terlibat dalam pertempuran,” tambahnya.

Tentera Israel memperkenalkan cara tersebut selepas diberi tekanan oleh Amerika Syarikat (AS) supaya melindungi orang awam.

Bagaimanapun, wartawan BBC berkata, dia telah bercakap dengan rakyat Palestin di kawasan terjejas dan mereka tidak mengetahui tentang peta tersebut atau tidak dapat melihatnya kerana tiada liputan internet.

“Ini adalah jenaka, bukan peta, kerana kami tidak tahu ke mana lagi hendak pergi,” kata seorang penduduk Gaza yang berlindung di Khan Younis kepada wartawan itu.

Sementara itu, seorang pakar bedah ortopedik di Hospital Eropah di Khan Younis memberitahu BBC bahawa hospitalnya sesak apabila ratusan mangsa serangan tentera Israel yang cedera.

“Situasi kini huru-hara. Kami tidak dapat menerima pesakit lagi dan mereka terus datang. Kami mempunyai lebih 360 orang dalam senarai pembedahan yang mustahil untuk ditangani,” kata Dr Paul Ley.

Ley juga berkata, koridor dan pekarangan hospital itu dipenuh dengan 6,000 hingga 7,000 penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal.

“Anestetik dan ubat tahan sakit adalah masalah besar. Kami kehabisannya,” tambah Ley.

Kelmarin, PBB berkata bahawa empat hospital di utara Gaza separa beroperasi dan menerima pesakit tetapi memberikan perkhidmatan terhad.

Israel melancarkan kempen pengeboman ke atas Gaza sebagai tindak balas kepada serangan rentas sempadan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu, di mana kira-kira 900 orang terbunuh dan kira-kira 240 yang lain dijadikan tebusan.

Kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, lebih 15,500 penduduk Palestin terbunuh di wilayah itu sejak perang antara tentera Israel dan pejuang Palestin tercetus. – AGENSI

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI