fbpx
KEADAAN terkini kerja-kerja pembaikan di lokasi kejadian letupan paip gas di Putra Heights, Puchong semalam.

Mangsa letupan Putra Heights tak puas hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUCHONG – Keputusan laporan penuh berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights yang diumumkan kelmarin sa­ngat sukar diterima oleh penduduk sehingga mereka menuntut agar kajian terperinci dapat dilakukan oleh pihak berwajib.

Menurut penduduk, mereka mempersoalkan mengenai laporan tersebut yang menyatakan tiada unsur sabotaj, kecuaian atau pelanggaran garis panduan dalam kerja pembinaan yang berlaku berhampiran kawasan letupan dalam kejadian pada 1 April itu.

Seorang penduduk, Zulkifli Ismail, 44, berkata, walaupun pihak berkuasa mengesahkan kejadian berpunca daripada pergerakan tanah, penduduk percaya terdapat aktiviti lain di kawasan berhampiran sebelum letupan berlaku dan ia perlu diberi perhatian lebih serius.

“Sebelum kejadian, memang ada kerja melibatkan pembinaan di kawasan itu. Kami rasa ada kaitan.

“Tapi akhirnya, penduduk kampung juga yang tanggung semua kerugian,” katanya kepada Kosmo!­ semalam.

Beliau juga memaklumkan, komuniti kampung telah melantik peguam bagi menguruskan beberapa perkara berkait tuntutan penduduk.

Menurut Zulkifli, kebanyakan penduduk kehilangan rumah sepenuhnya, termasuk rumah pusaka yang sudah berusia puluhan tahun.

Katanya, ada antara mereka hanya menerima pampasan satu unit rumah walaupun memiliki lebih daripada satu kediaman di tapak asal.

“Rumah saya dua tingkat, tujuh bilik. Tapi pampasan hanya dapat tiga bilik. Itu pun belum tentu dapat siap ikut jadual.

“Difahamkan, pembinaan rumah dijadualkan siap pada Oktober ini, tapi kalau dilihat dari kemajuan ketika ini seperti mengambil masa yang agak panjang untuk disiapkan” katanya.

Bagi Muhammad Adli Abu Bakar, 44, pula, dia hanya ingin menuntut keadilan selepas rumahnya musnah kira-kira 80 peratus akibat daripada kejadian letupan paip gas.

“Kami cuma mahu keadilan. Kalau pampasan tak setimpal, itu bukan keadilan namanya. Sekarang kita tunggu apa hasil daripada tuntutan guaman,” ujarnya.

Sementara itu, Rohani Abdul Salam, 53, menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan kerja pemasangan semula infrastruktur akan diteruskan tanpa pemantauan ketat.

“Kami risau kejadian berulang. Ini bukan isu kecil, ini soal nyawa. Kanak-kanak dan warga emas ramai tinggal di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Baharuddin Yusuf berkata, pihak­nya akan mengemukakan permohonan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mempertimbangkan semula jumlah bantuan pembaikan rumah yang diberikan kepada mangsa.

Katanya, ini kerana terdapat perbezaan ketara dalam jumlah bantuan yang diterima penduduk kampung itu berban­ding mangsa di kawasan Putra Heights.

“Bantuan sewajarnya perlu diagihkan secara adil dan saksama tanpa sebarang diskriminasi, memandangkan semua mang­sa mengalami kerosakan harta benda serta impak psikologi yang hampir serupa akibat letupan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Kos­mo! di lokasi mendapati ramai dalam kalangan penduduk masih tinggal di rumah sewa sementara yang difasilitasi melalui bantuan awal tiga bulan.

Bagaimanapun, mereka mula menyuarakan kebimbangan apabila tempoh bantuan tersebut hampir tamat pada September ini.

Kosmo! semalam melaporkan, tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian yang dikenal pasti boleh menyebabkan kerosakan paip gas sehingga mencetuskan letupan dalam insiden yang berlaku di Putra Heights pada 1 April lalu.

Ke­tua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati pembinaan lot kedai pejabat dan penggantian paip pembetung mengikut garis panduan ditetapkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Alam Sekitar serta Petronas.

Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum, Jabatan Ke­selamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat pula berkata, ketidakstabilan tanah menjadi punca berlakunya insiden letupan dan kebakaran apabila bahagian bawah saluran paip itu tidak disokong secukup­nya oleh tanah yang lembut dan lembap.

Terdahulu, tragedi letupan yang berlaku kira-kira pukul 8.10 pagi pada 1 April lalu yang merupakan Hari Raya Aidilfitri kedua telah menjejaskan seramai 529 penduduk daripada 118 keluarga.

Sejumlah 235 premis terma­suk rumah dan kedai terjejas dengan 87 unit musnah sepenuhnya.

Selain itu, 225 buah kende­raan mengalami kerosakan. Kejadian menyebabkan seramai 126 individu cedera termasuk ada dirawat di unit rawatan rapi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN