fbpx

Dewan Negara: Kerajaan Perpaduan pikul legasi 22 projek sakit PR1MA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini dimaklumkan Kerajaan Perpaduan terpaksa memikul legasi sebanyak 22 projek sakit Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sebanyak 11 projek sakit itu bagaimanapun telah berjaya disiapkan selepas berlaku peralihan kerajaan.

“Apabila berlaku peralihan kerajaan, legasi kami terpaksa pikul 22 projek perumahan PR1MA berstatus sakit, maka sebab itu tumpuan untuk tahun pertama ini untuk menyelesaikan masalah-masalah tertunggak.

“Salah satu fokus bawah `taskforce’ kita beri tumpuan khusus kepada projek PR1MA. Alhamdulillah untuk tempoh 10 hingga 11 bulan ini sebanyak 11 projek PR1MA telah berjaya disiapkan dengan sasaran menjelang hujung 2024 tiada lagi projek sakit dibawah PR1MA,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mengenai ketiadaan projek baharu PR1MA di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Selain itu, Akmal Nasrullah memaklumkan Kerajaan Perpaduan turut mewarisi tiga Projek Perumahan Awam iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) sakit iaitu PPR Seduan, Sarawak; PPR Lahad Datu, Sabah dan PPR Sembrong, Johor.

Kata beliau, antara punca PPR Seduan dikategorikan sebagai sakit kerana masalah hak milik yang masih belum selesai antara pemilik dan kontraktor disebabkan permasalahan lalu.

“Ini membangkitkan permasalahan lalu apabila kebanyakan PPR diuruskan sebelum ini dibuat secara rundingan terus. Untuk langkah ke hadapan kerajaan membuat ketetapan projek-projek PPR akan datang, kontrak tidak lagi boleh dibincang secara terus.

“Kedua, syarat dikenakan ke atas kerajaan negeri dan mengutamakan negeri-negeri yang memberi tanah secara percuma atau bayaran nominal kerana kalau isu tanah tidak selesai dari awal akan membangkitkan perkara seperti itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI