fbpx

Subsidi tiket penerbangan Sabah, Sarawak semasa musim perayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). -Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti mekanisme pemberian subsidi bagi mengurangkan kadar tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, subsidi tersebut bertujuan memastikan kadar yang akan ditetapkan tidak terlalu tinggi untuk beberapa hari sebelum musim perayaan.

“Kementerian Pengangkutan amat memahami berkenaan tiket harga kapal terbang untuk musim perayaan. Suka cita saya hendak nyatakan bahawa sudah tentu ada beberapa perancangan untuk membantu mengurangkan tiket kapal terbang semasa musim perayaan.

“Antara inisiatif meminta syarikat penerbangan menambah penerbangan pada waktu lewat malam. Kedua sedang meneliti mekanisme memberikan sedikit subsidi untuk memastikan kadar yang ditetapkan itu tidak terlalu tinggi.

“Itu antara inisiatif yang kita sedang lihat untuk mengurangkan tambang tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit mengenai langkah kerajaan membantu mengurangkan kadar tiket penerbangan yang tinggi semasa musim perayaan di Sabah dan Sarawak.

Menjawab soalan asal Abun Sui Anyit, Anthony Loke berkata, pengambilalihan MASWings Sdn Bhd di bawah Malaysia Aviation Group Hornbill Skyways Sdn. Bhd. masih dirundingkan.

Menurut beliau, walaupun pengambilalihan berlaku, Kementerian Pengangkutan masih bertanggungjawab dalam menetapkan dasar Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO) dan kriteria-kriteria kelayakan yang diperlukan.

Kata beliau, pada masa yang sama, Kementerian Pengangkutan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia akan terus berperanan untuk mentadbir dan menguruskan obligasi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

Jelas beliau, RAS merupakan perkhidmatan udara yang tidak ekonomik di kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah dan merupakan mod pengangkutan utama untuk penduduk di kawasan tersebut.

“Kerajaan Persekutuan memperuntukkan subsidi tahunan sebanyak RM209 juta bagi menampung kos operasi dan sewa pajakan pesawat untuk perkhidmatan ini.

“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan akan meneruskan pemberian subsidi Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan perkhidmatan RAS terus dinikmati oleh
penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI