fbpx

Dewan Negara: Malaysia tidak mampu kawal harga getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mampu untuk mengawal harga getah di pasaran memandangkan syer getah asli negara hanya berjumlah tiga peratus daripada pengeluaran dunia.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagaimanapun, kerajaan mengambil maklum dengan cabaran ketidaktentuan harga getah pada masa ini.

Menurutnya, pelbagai faktor turut mempengaruhi harga getah asli seperti prestasi pasaran hadapan, harga minyak mentah, kadar pertukaran mata wang asing dan pertumbuhan ekonomi negara pengeluar dan pengimport utama getah dunia.

“Intervensi daripada kerajaan untuk kawalan harga adalah minimum memandangkan syer pengeluaran tahunan getah asli Malaysia adalah pada anggaran tiga peratus daripada pengeluaran getah dunia.

“Maka negara tidak mampu mengawal harga getah,” katanya semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini, pada Isnin.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya mengenai pelan kerajaan untuk menstabilkan harga getah yang telah mencengkam pekebun kecil sejak sekian lama.

Namun, kata Fadillah, kerajaan terus komited untuk membantu menstabilkan harga getah dengan melaksanakan pelbagai langkah.

“Ini termasuk jalinan kerjasama dengan negara pengeluar getah utama dunia mengikut kerangka Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) dan Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC).

“Selain itu, menerusi Belanjawan 2024, kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan kadar Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3 daripada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM400 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI