fbpx

Dollah teruja masuk sekolah semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar menunjukkan Abdullah ditemani abangnya, Abdurrahman teruja memulakan sesi persekolahan hari ini di Madrasah Tahfiz al-Quran At Tanwiriah, Muar.

MUAR – Setelah hampir tiga bulan tidak menjejakkan kaki ke sekolah, Abdullah Amir Ruddin, 15, akhirnya kembali mengikuti kelas tahfiz al-Quran di Madrasah Tahfiz al-Quran At Tanwiriah di sini hari ini.

Malah bekas pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Al-Muhammadi, Kundang Ulu, Bukit Gambir itu nyata teruja setelah sekian lama tidak dapat menghadiri kelas sejak terlibat dalam kemalangan yang meragut enam ahli keluarganya pada 2 September lalu.

Perkembangan terkini Abdullah yang dikenali sebagai Dollah itu dikongsikan bapa saudaranya, Mohd Khairul Noor Mohammad, 54, menerusi akaun TikTok miliknya hari ini.

“Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh, hari ini Dollah masuk sekolah balik, ini keberapa kalilah rakaman suara Paklong ke berapa, Paklong sedih dan suka, nampak muka Dollah seronok, dari malam tadi sudah seronok.

“Buat masa ini abang (Abdurrahman) dialah yang pergi hantar dan ambil balik. Semoga Allah permudahkan urusan Dollah, semoga Dollah jadi Hafiz al-Quran,”katanya dalam rakaman video berdurasi dua minit 21 saat yang dimuat naik hari ini.

Sementara itu, ibu saudaranya, Nora Hila, 38, ketika dihubungi berkata, ketika Abdulrahman menghantarnya ke madrasah, Dollah menunjukkan perasaan sangat teruja.

“Sampai sahaja di depan pintu pagar sekolah, dia gembira dan cakap nak sekolah nak sekolah,” katanya.

Tambahnya, Abdullah memulakan kelas tahfiz menghafal al-Quran secara ulang-alik kerana madrasah itu hanya terletak kira-kira dua kilometer dari rumah kediaman keluarganya di Parit Lapis, Parit Jawa di sini.

Ujarnya, Abdurrahmah akan menemani Abdullah untuk beberapa hari bagi membolehkannya menyesuaikan diri dengan rakan serta suasana sekolah baharu.

“Pada waktu pagi abang dia akan pergi hantar dan kalau balik, saya atau ahli keluarga yang lain akan datang jemput dia pulang,”katanya.

Dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat, pada 2 September lalu, Abdullah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan serta koma dan dirawat di Hospital Segamat selama dua minggu.

Abdullah kemudiannya dibenarkan pulang ke rumah keluarga selepas pulih dan menerima rawatan susulan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini.

Dalam nahas itu, ibu bapanya, Allahyarhamah Norahimah Noor dan Amir Ruddin Ismail serta adik beradik Abdullah iaitu Fatimatulzahrah, Seri Khadijah Aqilah, Rufaidatul Asyariyah, dan Muhammad Assyakrawi meninggal dunia.

Kemalangan berlaku ketika tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan dari Ladang Tehel Utara, Kluang ke Felda Kemedak, Segamat untuk menghantar Noorahimah serta anak-anaknya di sana.

Manakala Abdurrahman pada hari kejadian tidak berkesempatan untuk mengikuti ahli keluarganya kerana atas tuntutan kerja sebagai bilal di Surau Ladang Selai, Kluang.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI