fbpx

Sebab kenapa Presiden Snow ‘berjiwa’ binatang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
The Hunger Games: The Ballad of Songbirds & Snake kini merupakan filem nombor satu di dunia dan hangat ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

SUTRADARA yang sangat sinonim dengan jenama Hunger Games itu jarang sekali mengecewakan. Individu yang dimaksudkan adalah Francis Lawrence. Kualiti yang sama dicernakan menerusi prekuel, The Hunger Games: The Ballad of Songbirds & Snake (TBOSS).

Setakat ulasan picisan ini ditulis, filem berkenaan mendapat 91 peratus audience score dalam Rotten Tomatoes. Impresif!

Secara peribadi, TBOSS boleh dikelaskan naskhah kedua terbaik selepas Catching Fire yang diluncurkan pada 2013.

Berdurasi lebih dua jam, TBOSS memberi ‘cengkaman’ yang lebih kuat francais Hunger Games kepada audiens seluruh dunia.

Buat khalayak yang tidak begitu mengikuti trilogi Hunger Games, barangkali akan sedikit terkeliru dengan perjalanan naskhah kali ini.

The Hunger Games: The Ballad of Songbirds & Snake membawa penonton mendalami kisah mengapa Presiden Snow menjadi begitu zalim terhadap rakyat Panem.

Sebab itu, sebelum berkunjung ke panggung, silalah buat homework terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya, penuhkan sedikit ilmu di dada dengan menyaksikan sedutan, buat pembacaan atau atau tonton klip filem berkenaan dalam YouTube misalnya.

Berbalik tentang kualiti filem yang membawa penonton ke zaman 64 tahun sebelum kejohanan Hunger Games ke-74 itu, satu perkataan yang ingin dinukilkan di sini. Mengagumkan.

Coriolanus Snow

Dari segi naratif, terjemahan karakter, emosi, elemen muzikal, aksi dan ‘pertalian’ dengan filem-filem Hunger Games terdahulu, memang berstatus chef’s kiss.

Terjemahan karakter utama iaitu Coriolanus Snow yang dimainkan Tom Blyth dan Lucy Gray Baird (Rachel Zegler) tidak langsung mengecewakan. Sinergi yang dicernakan dua pelakon muda itu meninggalkan dampak luar biasa.

Sebagai pengikut filem dan novel Hunger Games, kedua-dua pelakon tersebut melunaskan tugasan dengan cukup sempurna.

Memang meresap dalam jiwa segala pemahaman dan ilmu mengapa serta bagaimana Coryo atau Presiden Snow bertukar menjadi villain ‘berjiwa’ haiwan hanya disebabkan apa yang didokumentasikan dalam TBOSS.

It’s the things we love most, that destroy us. Itulah apa yang dibutirkan Presiden Snow dalam Mockingjay Part 2 sekali gus membuatkan apa yang dipaparkan dalam TBOSS memberi pengetahuan lebih mendalam kepada penonton tentang ‘universe’ Hunger Games. 

Pertalian darah Lucy, Katniss

Penulis secara peribadi berpendapat, Katniss Everdeen (watak yang pernah dijayakan Jennifer Lawrence)  mempunyai pertalian atau hubungan darah dengan Lucy Gray.

Kemungkinan besar, sepupu Lucy iaitu Maude Ivory adalah nenek kepada Katniss. Katniss menjadi Mockingjay atau simbol revolusi kepada rakyat Panem kerana dalam darahnya jua mengalir dari diri Lucy Gray yang merupakan pemenang Hunger Games ke-10. 

Watak Lucy Gray, pemenang kejohanan Hunger Games ke-10 dijayakan dengan cukup cemerlang oleh Rachel Zegler.

Banyak teori yang terjawab dan terus menjalar dengan peluncuran TBOSS. Kalau dibiarkan tulisan ini didakwatkan, memang akan terus menderas dan tidak cukup muka surat.

The Hunger Games: The Ballad of Songbirds & Snake wajar menjadi pilihan di panggung. Terjawab segala persoalan mengapa Presiden Snow menjadi sangat zalim dan karakternya berstatus antagonis. Rating peribadi penulis, 8/10.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI