fbpx

Kelantan belanja lebih RM51 juta bina, baiki rumah golongan asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penerima rumah Dhuafa', Rahimah Salleh,71, bersyukur apabila memperoleh sebuah rumah baharu menerusi Program Rumah Dhuafa’ selepas hampir lima tahun menunggu pada tahun lalu.

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan telah membelanjakan sebanyak RM51 juta untuk membina dan membaik pulih sebanyak 3,322 buah rumah melalui Program Rumah Dhuafa’ iaitu rumah untuk golongan asnaf sepanjang tempoh lima tahun.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, daripada keseluruhan jumlah rumah berkenaan, sebanyak 645 buah merupakan rumah baharu manakala 2,677 buah lagi dibaik pulih.

Menurutnya, rumah-rumah tersebut diberikan secara percuma kepada golongan asnaf di Kelantan.

“Daripada keseluruhan kos dibelanjakan, sebanyak RM29 juta adalah untuk bina baharu manakala RM22 juta adalah bagi tujuan baik pulih.

“Kadar harga bagi pembinaan rumah baharu bermula tahun lalu adalah RM55,000 dan baik pulih atau sumbangan bahan binaan tidak melebihi RM20,000 bergantung kepada spesifikasi teknikal dicadangkan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab menjawab soalan dikemukakan oleh Dr. Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama) berkenaan jumlah permohonan rumah Dhuafa’ dalam tempoh lima tahun.

Mohd. Nassuruddin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti memberitahu, kerajaan negeri amat komited dalam membantu golongan miskin di Kelantan.

Katanya, berdasarkan rekod pengenalan rumah Dhuafa’ bermula 2009 hingga tahun lalu, sebanyak 1,343 buah dibina dan 7,464 buah sudah baik pulih.

“Kos keseluruhan pula bagi projek itu melebihi RM128 juta dengan sebanyak RM54 juta untuk bina baharu dan lebih RM75 juta bagi baik pulih.

“Kerajaan negeri turut membina rumah mampu milik untuk rakyat pada harga lebih murah berbanding pihak swasta termasuk di bandar Gua Musang, Labok, Taman Iman Jaya, Wakaf Che Yeh dan Kok Lanas.

“Ada rumah mampu milik yang baru siap dan dalam pembinaan. Alhamdulillah, banyak rumah mampu milik yang kita buat untuk rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI