fbpx

DUN Selangor: Kes denggi Selangor meningkat 65 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Selangor mencatatkan peningkatan demam denggi sebanyak 65 peratus pada Minggu Epid (ME) 45 yang berakhir pada 11 November lalu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, sejumlah 50,730 kes demam denggi dilaporkan pada ME berbanding minggu sama tahun lalu iaitu 31,078 kes.

“Antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi seperti tahap kebersihan dan keadaan persekitaran lorong belakang rumah, kebun haram, rumah dan tanah kosong.

“Selain itu, (diburukkan lagi) kerana kurangnya kepekaan masyarakat dalam menjaga persekitaran mereka,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Terdahulu, Datuk Johan Abd. Aziz (BN – Dusun Tua) ingin mengetahui perancangan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menyelesaikan masalah penularan wabak denggi.

Jamaliah merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama memberitahu, Operasi Bersepadu Denggi Selangor (OBDS) telah dilaksanakan bermula pada 20 Februari sehingga 23 Mac di empat daerah yang mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi iaitu Petaling, Klang, Hulu Selangor dan Hulu Langat.

Tambah beliau, program gotong-royong mega denggi peringkat Selangor yang telah diadakan di 16 lokasi di seluruh negeri dengan melibatkan penyertaan lebih daripada 3,700 penduduk setempat.

“Tindakan penguatkuasaan juga dilakukan melalui Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 terhadap individu atau pemilik premis yang berpotensi menjadi punca pembiakan aedes melalui pengeluaran notis kompaun dan arahan penutupan premis,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI