fbpx

Papagomo diarah masukkan kehadiran dalam saman Fahmi Fadzil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Papagomo (kiri) dan Fahmi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan penulis blog Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris, memasukkan kehadiran dalam kes saman Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil terhadapnya dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Saman itu difailkan Fahmi selaku plaintif pada 5 September lalu, berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

Perkara itu dimaklumkan peguam Asheeq Ali Sethi Alibi mewakili Fahmi ketika dihubungi selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Aisyaf Falina Abdullah secara dalam talian hari ini.

“Pada 6 November lalu, mahkamah memutuskan supaya plaintif (Fahmi) menyerahkan saman itu menerusi pemakluman penyampaian ganti (substituted service) di dalam akhbar kerana saman tersebut gagal diserahkan kepada defendan (Wan Muhammad Azri). Notis tersebut telah diterbitkan dalam surat khabar The Star hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Asheeq Ali, mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 8 Disember ini untuk pihak plaintif memaklumkan kepada mahkamah sama ada defendan telah memasukkan kehadiran atau sebaliknya.

Sementara itu, Fahmi dalam hantaran Facebooknya hari ini berkata peguamnya telah cuba menghubungi Wan Muhammad Azri sejak beberapa bulan lalu.

“Ini berkait kenyataan fitnah yang dibuat individu tersebut (Wan Muhammad Azri) terhadap saya sebelum Pilihan Raya Negeri Ogos lalu,” katanya.

Selain Wan Muhammad Azri, Fahmi juga menfailkan saman terhadap penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani serta pemilik akaun Facebook “N13 Kuang”, Mohd. Fauzan Madzlan berhubung isu sama.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa plaintif menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Dakwa plaintif, kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos, manakala di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lepas.

Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI