fbpx

Mahu bunuh adik kandung sebab lapor polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Padah mengugut untuk membunuh adik kandungnya sendiri gara-gara berang mangsa melaporkan kegiatan ketagihannya kepada pihak polis, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ahmad Zafran Mohd, 33, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mendatangkan ketakutan kepada adiknya, Ahmad Yusran, 32, kira-kira pukul 11.30 malam di sebuah rumah di Kampung Kandang, di sini, 6 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak mengugut untuk membunuh adik kandungnya selepas mengetahui mangsa membuat laporan polis bahawa dia seorang penagih dan telah mengamuk di rumah mereka.

Tertuduh juga dikatakan meminta wang daripada ibu saudaranya untuk membeli dadah sehingga menyebabkan wanita itu ketakutan dan terpaksa menuruti permintaan tersebut.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan kejadian berlaku kerana didorong perasaan marah dan berjanji tidak mengulangi kesilapan itu lagi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara selama tujuh bulan daripada tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI