fbpx

‘Kak long baliklah, sudah lapan tahun emak tunggu di pintu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che Safuan dan Hamzah menunjukkan laporan polis dan gambar Siti Mariah yang menghilangkan diri sejak lapan tahun lalu.

KUALA NERANG – “Kak long baliklah, setiap hari selama lapan tahun emak sebut nama dan tunggu kak long di pintu rumah. Pulanglah sementara emak dan ayah masih ada”

Demikian rayuan warga emas, Che Safuan Abd. Rahman, 61, buat anak sulungnya, Siti Mariah Hamzah, 39, yang hilang tanpa khabar sejak 2015.

Menurut Che Safuan, anaknya yang merupakan graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam bidang kaunseling menghilangkan diri selepas bekerja di sebuah bank di ibu negara.

“Sehingga kini, saya dan suami (Hamzah Said) menanti kepulangan kak long walaupun tiada langsung khabar berita daripadanya. Suami dan anak kedua pernah mencarinya di Kuala Kumpur, tetapi gagal.

“Sampai sekarang kami tidak tahu apa salah kami sehingga kak long menghilangkan diri. Saya tertekan memikirkan punca kak long tidak pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sireh, Naka di sini hari ini.

Siti Mariah.

Jelas wanita itu, tiada perselisihan faham yang berlaku antara mereka dan Siti Mariah sebelum anaknya menghilangkan diri.

“Kali terakhir kak long menghubungi saya pada penghujung tahun 2015. Dia beritahu beli baju di Nilai, Negeri Sembilan kerana mahu menghadiri majlis kenduri rakan.

“Selepas itu, tiada lagi berita tentang kak long. Hanya Tuhan yang tahu betapa rindunya saya pada dia yang merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga,” ujarnya.

Tambahnya, bagi menghilangkan rasa rindu, dia mencium pakaian anaknya yang masih disimpan rapi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Siti Mariah diminta menghubungi adiknya Mohd. Nizam di talian 011-24191346. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI