fbpx

Dewan Rakyat: Larangan penggunaan 3 kategori kenderaan mikromobiliti kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Larangan penggunaan beberapa jenis kenderaan mikromobiliti yang melebihi kelajuan 25 kilometer sejam di atas jalan raya masih dikekalkan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kewujudan basikal mempunyai padel, tetapi menggunakan enjin.

“Perkara ini masih dikekalkan tidak dibenarkan. Kekal hingga hari ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau menjawab solan Datuk Seri Ir.Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berhubung larangan penggunaan `e-bicycle’ yang mempunyai padel, tetapi padel itu sekadar `wayang’.

Kementerian Pengangkutan tahun lalu menetapkan larangan penggunaan tiga kenderaan jenis mikromobiliti di atas jalan raya.

Tiga kategori itu termasuk moped, Personal Mobiliti Devices (PMD) iaitu skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman atau pun kuasa manusia yang mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam serta Personal Mobiliti Aids (PMA).

Dalam pada itu, Hasbi berkata, Kementerian Pengangkutan menganggap tiada keperluan melesenkan kenderaan mikromobiliti termasuk skuter elektrik pada masa ini.

Ia kerana peraturan penggunaan kenderaan itu sudah diwarta dalam Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021.

Selain itu, beliau menjelaskan Kementerian Pengangkutan melaksanakan langkah awal dengan mengeluarkan peraturan Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu di atas jalan bagi melindungi kebajikan dan keselamatan semua pengguna jalan raya termasuk pengguna kenderaan mikromobiliti sendiri.

“Berkenaan dengan penggubalan undang-undang khusus bagi membenarkan penggunaan kenderaan mikromobiliti, adalah dimaklumkan bahawa perkara ini sudah dinyatakan dalam warta peraturan 3 (2) dalam Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021.

“Peraturan itu memperuntukkan kuasa kepada menteri untuk mengecualikan larangan itu di mana-mana jalan atau mana-mana bahagian jalan tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditentukan.

“Dalam hal ini, pihak berkuasa yang berkenaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah membangunkan dan mewartakan infrastruktur laluan khas bagi penggunaan kenderaan mikromobiliti (seperti laluan basikal) dan mengemukakan permohonan pengecualian larangan daripada Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Beliau menjelaskan pembangunan infrastruktur (laluan khas) berkenaan hendaklah mematuhi Garis Panduan Perancangan Laluan Kenderaan Mikromobiliti yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui agensinya PlanMalaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI