fbpx

Bayi baru lahir dijumpai dalam beg plastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bayi lelaki berkenaan kini sedang mendapatkan rawatan lanjut di NICU Hospital Sungai Buloh. -Foto PDRM

SUBANG JAYA – Seorang bayi lelaki bertali pusat bersama uri tanpa seurat benang ditemui dalam keadaan masih bernyawa oleh orang awam di dalam bungkusan plastik tepi jalan PJS 9/1 Bandar Sunway, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, penemuan bayi malang itu dilaporkan kepada anggota bertugas ronda cegah jenayah Balai Polis Bandar dan diterima oleh Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya pada pukul 1.25 tengah hari.

“Bayi tersebut dijumpai dalam bungkusan plastik yang ditinggalkan di tepi jalan dan masih bernyawa. Semasa dijumpai orang awam, bayi tersebut tidak berpakaian dan masih bertali pusat serta uri.

“Anggota membawa bayi tersebut ke klinik berhampiran seterusnya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, hasil pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan mendapati bayi tersebut baru sahaja dilahirkan.

“Bayi dalam keadaan stabil dan ditahan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sungai Buloh untuk pemantauan rapi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membuat laporan di 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Suriyana Zakaria di 019-3559880. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI