fbpx

FDI Malaysia kukuh, meningkat RM7.2 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Uzir (kiri) bersama Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour pada sidang akhbar Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2023 di Sasana Kijang, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pelaburan Langsung Asing (FDI) negara mencatatkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi sebanyak RM7.2 bilion berbanding RM3.1 bilion pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penerima FDI terbesar ialah sektor perkhidmatan melibatkan kewangan, perlombongan dan pengkuarian dari Hong Kong, China dan United Kingdom (UK).

Menurutnya, pada akhir suku tahun ketiga 2023, kedudukan pelaburan terkumpul bagi FDI dan Pelaburan Langsung Malaysia di Luar Negeri (DIA) masing-masing ialah RM914.9 bilion dan RM659.6 bilion.

“Justeru, jumlah kedudukan aset kewangan mencatatkan sebanyak RM2,399.5 bilion manakala jumlah liabiliti RM2,296.3 bilion.

“Ini menjadikan Kedudukan Pelaburan Antarabangsa (IIP) merekodkan aset bersih berjumlah RM94.9 bilion, manakala Rizab Antarabangsa RM517.1 bilion,” katanya pada sidang Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2023 di Sasana Kijang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, Imbangan Akaun Semasa (CAB) turut meningkat (marginal) sebanyak 0.3 peratus suku ke suku untuk merekod lebihan RM9.1 bilion, bersamaan dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Lebihan CAB pada suku tahun ketiga 2023 sebahagian besarnya disokong oleh eksport bersih barangan yang lebih tinggi, diikuti defisit yang lebih rendah dalam perkhidmatan dan akaun pendapatan sekunder.

“Eksport bersih akaun barangan melonjak kepada RM32.7 bilion daripada RM29.5 bilion manakala eksport barangan meningkat 2.2 peratus dengan nilai RM260.4 bilion,” ujarnya.

Selain itu, katanya, eksport perkhidmatan meningkat sebanyak 5.9 peratus suku ke suku dengan nilai RM50.6 bilion manakala import perkhidmatan menunjukkan trend yang sama, dengan pertumbuhan sederhana sebanyak 3.1 peratus, berjumlah RM60.9 bilion.

“Dari sudut pendapatan, akaun primer mencatatkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM11.0 bilion sementara defisit dalam akaun sekunder mengecil kepada RM2.2 bilion pada suku ketiga 2023,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI