fbpx

Permim pupuk semula budaya membaca akhbar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahul Hameed (dua dari kanan) ketika mengedarkan 200 naskah akhbar Kosmo! kepada murid-murid SK Wellesley, George Town, semalam. Foto oleh IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) komited memperkasakan budaya membaca terutama menerusi medium media cetak atau akhbar dalam kalangan murid-murid sekolah sehinggalah peringkat dewasa.

Naib Presidennya, Datuk (Dr.) Shahul Hameed Syed Mohamed berkata, pihaknya sedaya upaya mahu menggalakkan amalan membaca bukan sahaja secara maya tetapi dalam bentuk bacaan fizikal dengan pelaksanaan Kempen Membaca secara serentak di enam buah negeri, semalam.

Menurutnya, penganjuran program tersebut adalah bersempena dengan sambutan Jubli Emas Permim ke-50 pada tahun ini, setelah penubuhannya pada tahun 1973.

“Selain memupuk minat membaca dari kecil, Permim juga mahu masyarakat khususnya murid sekolah berpeluang menambah ilmu pengetahuan menerusi isu-isu semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.

“Program ini juga sekali gus bertujuan memperkenalkan Permin yang mewakili golongan India Muslim di negara ini, yang sentiasa menjaga kemaslahatan dan membangunkan taraf hidup komunitinya meliputi aspek pendidikan, ekonomi serta kebajikan,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan 200 naskah akhbar Kosmo! di Sekolah Kebangsaan Wellesley termasuk di Pejabat Pendidikan Dearah Timur Laut.

Hadir sama ialah Penolong Setiausaha Permim, Adam Malik Shahul Hamid dan Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan bersama Exconya, Jamil Kader Gani.

Sementara itu, Presiden Permim, Shaik Faridhudheen Anverdeen berkata, pihaknya berbesar hati dengan mengambil inisiatif untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar sekolah.

“Sempena sambutan Jubli Emas Permim tahun ini, kami telah mengedarkan 1,000 naskah akhbar Kosmo! di beberapa negeri termasuk Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka.

“Walaupun dalam era digital terdapat pelbagai platform untuk mendapatkan sumber berita, media cetak masih lagi memainkan peranan penting untuk memupuk serta memperkasakan budaya membaca,” tambahnya.

Permim merupakan sebuah badan induk yang menggabungkan lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) dan diiktiraf oleh kerajaan sebagai wakil NGO untuk India Muslim di seluruh Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI