fbpx
SHARIFAH AMANI

Suami ‘penenang’ Sharifah Amani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNIA lakonan ibarat sudah menjadi darah daging dan hidup subur dalam jiwa wanita bertubuh genit itu.

Berikanlah apa sahaja watak, hasil lakonan yang ditonjolkan pemilik nama pentas Sharifah Amani itu pasti akan meninggalkan ‘bekas’ di hati semua.

Tidak berlebihan rasanya jika Amani atau mesra disapa Nani itu dilabel sebagai pelakon kelas A, dek kredibiliti kerja lakonan sepenuh hati sejak mula namanya mekar mengisi dunia sinema tanah air sejak 2005.

Tempoh selama lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan telah menyaksikan banyak perubahan.

Nani atau nama lengkapnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya sendiri mengakui, bukan mudah untuk seseorang pelakon kekal relevan berada dalam industri.

Evolusi satu hal, kebanjiran pendatang baharu saban waktu yang menunggu saat mengambil kedudukan pelakon senior sedia ada juga sebuah hakikat.

Kekal relevan

Menyambut baik kehadiran ramai pelakon baharu termasuk dalam kalangan pesohor media sosial, Nani tidak melihat golongan itu sebagai pencabar, malah gembira menyaksikan kemeriahan industri seni dengan wajah baharu.

“Saya okey saja sebab rezeki masing-masing. Setiap zaman ada ‘celebrity culture’ mereka. Namun bagi saya, untuk terus kekal perlu diterapkan bersama adalah kesungguhan dan disiplin yang tinggi.

“Saya sudah ada dalam industri hiburan ini lebih 20 tahun. Kalau hendak berada lama, kita kena serius dan belajar. Kita perlu tahu apa kesusahan,” katanya.

Pernah menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 menerusi filem Gubra, Nani sendiri masih gigih memperbaiki diri supaya kualitinya dalam industri tidak terjejas.

Pelakon berusia 37 tahun itu percaya, ramai anak seni ‘kecundang’ kerana kurang kualiti, tidak seperti artis yang benar-benar bagus.

“Dari dahulu saya lihat, mereka yang serius dalam bekerja akan bertahan lebih lama. Mereka yang tidak bersungguh-sungguh atau tidak bagus, akan hilang,” jelasnya.

“Industri seni kita banyak bakat yang amat berpotensi. Satu contoh dapat dilihat ialah semasa saya dipanggil untuk menjadi juri sebuah pertandingan teater pendek di Aswara baru-baru ini.

“Saya seronok tengok ramai bakat yang hebat dan ada potensi.

“Tetapi, selepas itu, apa? Ke mana mereka? Ada ramai yang mengadu pada saya mereka susah nak dapat pekerjaan terutama ketika Covid-19,” ujarnya.

Memperkasakan wanita

Layak digelar anak seni serba boleh, Nani kini lebih tertarik dan pastinya berbesar hati jika ditawarkan watak yang mengangkat martabat kaum wanita.

Dia mahu karakter yang dibawakan mencipta satu ‘ruang selamat’ bagi golongan wanita.

Kata anak kedua kepada pelakon veteran Fatimah Abu Bakar itu, watak sebegitu mampu menjadi suara memperkasakan wanita berdepan pelbagai isu, termasuk keganasan rumah tangga.

“Telah beberapa kali saya berkerja untuk naskhah yang mengangkat peranan wanita. Terbaharu menerusi filem La Luna arahan pengarah, M. Raihan Halim yang mengisahkan tentang seorang wanita bandar bernama Hanie.

“Bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia, saya percaya kedudukan wanita tidak dipandang dengan selamat.

“Setiap hari ada sahaja kes-kes keganasan rumah tangga dilaporkan dan mangsanya pula adalah wanita yang selalu akan dipersalahkan,” jelas Nani.

Berbeza dengan golongan lelaki yang selalu diangkat sebagai ‘superhero’, justeru Nani berharap pembabitannya dalam naskhah yang mengangkat golongan wanita mampu menjadi suara, sekali gus didengari masyarakat.

“Kalau ada rezeki lagi untuk terbabit dalam filem yang mengangkat darjat wanita, insya-Allah saya akan lakukan,” tegasnya.

Fasa bahagia

Menyentuh kehidupan peribadinya selepas setahun bergelar isteri, Nani tersenyum malu, namun terlihat kebahagiaan yang tidak dapat disembunyikan.

Sepanjang setahun bergelar isteri, Nani mengakui mempelajari banyak perkara baharu dan masih belajar untuk bergelar isteri terbaik kepada suaminya, Ahmed Faris.

“Alhamdulillah, saya melalui fasa bahagia ketika ini. Ada banyak perkara yang saya belajar dalam rumah tangga.

“Saya menganggap perkahwinan adalah suatu perkara yang mengagumkan. Dialah imam saya, suami saya, kawan saya. Walaupun ada cabarannya, tapi perkara itu menyeronokkan,” kata Nani.

Disoal perkara menarik mengenai si suami, Nani berkata banyak perkara yang disukainya tentang lelaki itu.

“Saya suka semua benda tentang suami. Dia kelakar dan bijak. Dia juga seorang pendebat yang baik.

“Suami selalu tenangkan saya dalam banyak perkara yang berlaku di seluruh dunia,” jelasnya.

Menyentuh tentang zuriat, Nani meminta agar diberikan rezeki cahaya mata, namun tidak terlalu mendesak diri untuk dikurniakan anak kerana percaya pada rezeki Allah SWT.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN