fbpx

Kasual sofistikated dengan siluet beralun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Warna-warna natural yang elegan diberikan penekanan dalam koleksi.

PEMILIHAN busana dengan potongan dan fabrik yang bersesuaian cuaca sesuatu tempat adalah cukup penting bagi memastikan pemakai kekal selesa.

Pakaian daripada fabrik ringan dengan siluet beralun merupakan pilihan paling sesuai untuk digayakan sebagai pakaian harian di negara beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia.

Justeru, jenama tempatan baharu RAEA melancarkan koleksi sulungnya baru-baru ini yang bertemakan elegan dalam rona-rona natural.

Koleksi yang diberi nama Urban Resort itu diperagakan kepada umum pada 2 November lalu bertempat di Grey Box, GMBB Kuala Lumpur.

Pengarah Kreatif RAEA, Ian Ebrizal berkongsi, perkataan RAEA diambil daripada perkataan radiant yang menjadi simbolik cintanya terhadap busana kasual yang dihasilkan daripada material yang mewah.

“Palet warna koleksi ini yang terdiri daripada warna-warna natural, bersama siluet yang beralun dipilih untuk disesuaikan dengan cuaca dan gaya wanita di negara ini.

“Ia juga bagi menghasilkan satu label pakaian yang sofistikated, minimalis dan mudah untuk digayakan,” katanya.

Tambah Ian, dia mengambil inspirasi daripada wanita-wanita dalam hidupnya seperti adik-beradik dan rakan-rakan serta menghasilkan sesuatu yang selesa untuk digayakan mereka.

“Koleksi pertama ini boleh dikatakan merupakan pakaian-pakaian yang saya mahu lihat digayakan bukan sahaja oleh ahli keluarga dan rakan-rakan wanita saya, tetapi turut digayakan oleh wanita-wanita lain,” katanya.

Seleksi busana RAEA terdiri daripada dres satin, blazer polos, kemeja kasual, set blaus dan skirt berenda dan seluar berpotongan longgar.

Rona-rona natural yang memukau seperti coklat, hitam, putih, hijau zaitun dan kelabu mendominasi koleksi sulung label itu.

Perincian seperti lipatan dengan potongan yang ringkas menjadikan setiap satu busana cukup mudah untuk dipadankan dengan busana lain, sesuai kreativiti.

Setiap busana bagi koleksi itu juga sesuai digayakan untuk pelbagai acara seperti ke pejabat, makan malam romantis dan juga gaya kasual harian.

Ditanya tentang perancangan bagi menghasilkan koleksi buat lelaki pula, Ian berkata, buat masa ini, dia mahu melihat dahulu sambutan terhadap koleksi sulung RAEA.

“Sejujurnya, saya mahukan koleksi lelaki untuk RAEA, namun buat masa ini, kami belum ada perancangan ke arah itu.

“Kami mahu melihat sambutan bagi koleksi sulung ini terlebih dahulu dan sekiranya sambutannya baik dan ada permintaan yang tinggi untuk pakaian lelaki pula, mungkin kami akan mempertimbangkannya,” katanya.

Buat masa ini, koleksi RAEA boleh dibeli secara online di laman web jenama itu, namun RAEA juga bakal membuka butik pertamanya di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya pada penghujung bulan ini. Ia diikuti butik pop-up pertamanya di pusat beli-belah Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

Busana RAEA dijual pada harga antara RM139 hingga RM269.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI