fbpx

Harimau haiwan pemalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Manusia bukanlah mangsa atau makanan kepada harimau dan mamalia berkenaan adalah haiwan liar yang tidak mendekati manusia.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, sehubungan itu beliau berpendapat, terdapat sebab-sebab tertentu susulan kes serangan harimau terhadap manusia yang dilaporkan baru-baru ini.

“Adakah serangan ini kerana berhadapan de­ngan harimau? Orang berkenaan lari apabila terserempak dengan harimau atau diserang ketika sedang bekerja?

“Selalunya manusia bukan mangsa atau makanan harimau dan harimau tidak mendekati manusia. Mesti ada sebab kenapa harimau menghampiri manusia.

“Jika ada kajian tentang harimau di tempat berkenaan, sudah tentu ada jawapan yang tepat,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau menjelaskan, habitat harimau semakin kecil telah lama dibincangkan yang mana kawasan legar bagi harimau jantan ialah 300 kilometer (km) persegi, manakala harimau betina kira-kira 100 km persegi.

“Sekiranya kawasan legar harimau semakin kecil, ada kemungkinan akan bertindan dengan kawasan legar manusia di dalam hutan atau harimau masuk kawasan manusia.

“Apabila manusia dan harimau berkongsi habitat dan sumber makanan, kemudiannya boleh menimbulkan konflik antara manusia dan harimau,” katanya.

Berita berkaitan: Henti menyumpit, menoreh bimbang diterkam harimau

Berita berkaitan: Lelaki Myanmar pula maut dibaham harimau di Gua Musang

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, terdapat tiga perkara penting yang boleh menimbulkan konflik antara manusia dan harimau.

“Pertama apabila habitat harimau terganggu dan kawasan legar untuk makanan serta pembiakan semakin kecil. Selain itu, makanan harimau seperti rusa, pelanduk dan babi hutan sema­kin berkurangan.

“Ketiga ialah kawasan legar bertindih atau aktiviti manusia dalam kawasan jelajah harimau. Akibat daripada salah urus hutan simpan untuk habitat hidupan liar seperti harimau, memberikan kesan kepada konflik manusia dan harimau,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kawasan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran harimau mesti sentiasa dipantau, manakala penduduk tempatan pula perlu dimaklumkan dan pihak berwajib juga hendaklah mengambil tindakan mengikut prosedur yang ada.

“Sebab itu ahli pemuliharaan hidupan liar mementingkan kawasan habitat yang cukup dan sesuai untuk hidupan liar,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki warga Indonesia dijumpai dalam keadaan mengerikan dengan keadaan anggota tubuh badannya tidak sempurna selepas dipercayai dibaham harimau di kawasan kebun getah Kuala Wok, Pos Pasik di Gua Musang, Kelantan pada Jumaat.

Kes kedua pula melibatkan lelaki warga Myanmar meninggal dunia angkara pak belang di kebun getah di Kampung Meranto, Gua Musang pada Sabtu, yang mana kedua-dua kejadian berlaku dalam jarak sejauh 10 km.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI