fbpx

Fitnah: Zuraida buat permohonan maaf kepada Saifuddin secara terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida ketika hadir di Mahkamah Sesyen Sivil hari ini.

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah antara Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terhadap Datuk Zuraida Kamaruddin selesai apabila bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Sesyen Sivil hari ini.

Saman fitnah itu berhubung suatu ucapan pada sebuah majlis makan malam di sebuah hotel di sini 8 Disember 2019.

Dalam prosiding hari ini, Zuraida, 65, membacakan pernyataan maaf itu di hadapan Hakim Norakhmar Mohd. Sani.

“Atas saman fitnah yang difailkan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution terhadap saya berkaitan dengan ucapan tersebut, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini dengan suatu kenyataan maaf secara terbuka di hadapan mahkamah ini.

“Oleh yang demikian, saya dengan ini menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution dan juga memohon maaf kepada beliau,” katanya.

Sejurus selesai membaca permohonan maaf itu, Hakim Norakhmar kemudian merekodkan penghakiman persetujuan penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua pihak serta melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari bermula hari ini.

Terdahulu, peguam Navpreet Singh mewakili Saifuddin Nasution selaku plaintif yang dikecualikan kehadirannya hari ini berkata plaintif dan defendan (Zuraida) telah mencapai penyelesaian melalui penghakiman persetujuan dan hari ini ditetapkan untuk merekodkan terma-terma persetujuan tersebut.

Menurut Navpreet, plaintif menarik balik writ serta pernyataan tuntutan dan jawapan kepada pembelaan manakala defendan menarik balik pernyataan pembelaan.

“Selain itu, defendan (Zuraida) menarik balik kenyataan-kenyataan fitnah tersebut dan bersetuju untuk mengemukakan suatu permohonan maaf secara lisan di mahkamah hari ini.

“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa penghakiman ini menjadi penyelesaian penuh serta muktamad dan guaman ini (kes saman) dibatalkan dan plaintif (Saifuddin) serta defendan tidak mempunyai kebebasan untuk memfailkan semula,” katanya dan menambah tiada perintah terhadap kos.

Dalam prosiding hari ini, peguam Nizamuddin Hamid mewakili Zuraida dan mengesahkan permohonan maaf itu.

Sementara itu, Zuraida ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur kes tersebut telah selesai secara baik.

Saifuddin Nasution memfailkan saman itu pada 21 Julai 2020 mendakwa majlis makan malam tersebut bertema “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” itu berlangsung seiring dengan hari terakhir Kongres Kebangsaan PKR kali ke-14 di Melaka.

Saifuddin mendakwa Zuraida membuat kenyataan fitnah yang membawa maksud antaranya plaintif mengamalkan penipuan dan rasuah kerana beliau menerima suapan berjuta-juta ringgit untuk menyertai PAS atau PKR atau untuk memegang jawatan di sektor awam.

Dakwanya, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berniat jahat untuk memburukkan kewibawaan serta imej plaintif sebagai seorang ahli politik, kakitangan awam di kaca mata masyarakat umum, anggota PKR dan penyokong Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada PKR kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti berkenaan.

Mahkamah Tinggi ketika itu memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan PKR selaku plaintif terhadap Zuraida sebagai defendan.

Bagaimanapun Zuraida memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI