fbpx

Dewan Rakyat: Kerajaan tidak berhasrat kawal selia tambang e-hailing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan masih belum berhasrat untuk mengawal selia tambang e-hailing di Malaysia buat masa ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan juga tidak berhasrat menetapkan kadar upah minimum yang diterima pemandu e-hailing.

“Kita tidak mengamalkan kawalan harga atau menetapkan harga lantai yang diberikan kepada pemandu.

“Bagi saya kalau naikkan kadar upah (pemandu e-hailing), ia akan memberi implikasi harga tambang kepada pengguna akan meningkat.

“Kalau dilaksanakan, Ahli Yang Berhormat juga akan datang balik ke Dewan Rakyat mengadu kadar tambang e-hailing meningkat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) mengenai kadar upah diterima pemandu e-hailing tidak berbaloi, rendah dan merugikan.

Kata beliau, sehingga hari ini masih ada pemandu e-hailing di Malaysia mendapat upah RM5 bagi satu trip.

“Harga per kilometer untuk perkhidmatan Grab di Filipina RM1.02 sen, Vietnam RM1.55. Mengapa pemandu Grab di Lembah Klang hanya dibayar 70 sen tahun lepas dan dikurangkan kepada 25 sen per kilometer awal tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Anthony Loke menerangkan, penentuan harga lantai tambang e-hailing adalah kompleks dan perlu diimbangi antara pemandu dan pengguna.

Menurut beliau, sekiranya harga lantai ditetapkan, harga tambang kepada pengguna juga mungkin meningkat.

Kata beliau, pemboleh ubah seperti kesesakan trafik, cuaca, jarak, masa, jumlah permintaan dan jumlah penawaran menentukan padanan tempahan dengan penawaran secara langsung.

“Harga tambang fleksibel mengikut padanan faktor semasa. Kadangkala rendah, kadangkala tinggi. Tidak melihat kepada satu trip sahaja, tetapi secara keseluruhan.

“Kadangkala mungkin kadar rendah, tetapi secara keseluruhan mungkin berbaloi. Bagi kita setakat ini, dasar sedia ada dikekalkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menerangkan, terdapat syarikat e-hailing meminta kerajaan untuk membatalkan had siling komisen sebanyak 20 peratus.

“Ada percubaan ada trip langsung tidak ambil komisen, tetapi ada komisen dinaikkan lebih 20 peratus. Jadi mereka minta kita batalkan had silng tersebut. Kita belum dapat buat keputusan itu sebab ketika ini dasar ditetapkan had siling syarikat boleh ambil adalah 20 peratus, tetapi kita lihat dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI