fbpx

Bukan sakit misteri, penyakit berbahaya doktor sahkan – Azharina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZHARINA

SHAH ALAM – Penyanyi Azharina mengalami penurunan berat badan yang mendadak kerana hilang selera makan, selepas mendakwa ‘tidak sihat’ akibat masalah kesihatan yang masih dirahsiakan.

Ujar bintang All Stars Gegar Vaganza (GV10) itu, dia kehilangan sehingga lebih daripada lima kilogram berat badan, sehingga pakaiannya menjadi longgar dan besar.

“Sebenarnya sebelum GV10 bermula lagi sehingga sekarang, berat badan saya semakin menurun. Baju saya kena ‘alter’ beberapa inci kerana besar.

“Saya kehilangan kira-kira lebih daripada lima kilogram,” ujarnya.

Pun begitu, Azharina tetap berfikiran positif dan menganggap perkara tersebut (turun berat badan) suatu hal yang bagus.

“Tapi saya anggap itu perkara yang bagus dan sentiasa berfikiran positif,” jelasnya.

Ketika diasak tentang sakit yang dialaminya, penyanyi asal Sabah itu tetap dengan pendirian untuk ‘mengunci mulut’ daripada berkongsi apa-apa tentang masalah kesihatannya, kerana merasakan bukan masa yang sesuai untuk mendedahkan tentang hal tersebut.

“Saya tidak mahu berkongsi apa-apa tentang masalah kesihatan saya kerana merasakan ini bukan masa yang sesuai.

“Nanti, bila sudah sampai masanya, saya akan kongsikan,” ujarnya.

Pada masa sama, pelantun Elergi Sepi itu berkata, sakit yang dialaminya itu tidak melibatkan unsur misteri (sihir), sebaliknya sakit berbahaya yang didiagnos doktor.

“Saya bukan sakit misteri. Tetapi sakit berbahaya yang didiagnos oleh doktor. Saya dapat tahu sebelum program GV10 bermula,” ujarnya.

Bercerita tentang persembahannya sewaktu menyampaikan lagu Ya Maulai, dendangan asal penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Azharina mengakui bimbang untuk menyanyikan lagu tersebut, sehingga membuatkan dia tidak boleh tidur malam.

“Sangat susah. Masa mula-mula dapat lagu ini (Ya Maulai) pada hari Ahad (konsert minggu ketujuh), balik rumah saya tidak boleh tidur sehingga pukul 10.30 pagi (Isnin).

“Saya dengar berkali-kali lagu tersebut dan rujuk guru vokal saya iaitu cikgu Syafi. Ada tiga key (nada) yang dia beri, semuanya saya tolak.

“Kemudian saya turunkan key kepada dua oktav daripada key asal (tiga oktav). Semasa sesi latihan bersama Tok Ram (Ramli MS), dia suruh naikkan lagi satu key (key asal).

“Dia kata baru okey, suara saya tidak seperti ‘pondan’,” katanya.

Bagaimanapun, Azharina terpaksa menurunkan kembali kepada dua key kerana berdepan masalah kesihatan selepas mengalami muntah-muntah dan pening kepala sejak Jumaat lalu.

“Saya tidak sihat, ditambah dengan tidak cukup rehat. Tanpa latihan, saya nyanyi sahaja. Alhamdulillah, semuanya terkawal,” katanya.

Ketika konsert minggu kelapan GV10 kelmarin, Azharina menduduki tempat keenam dengan markah sebanyak 66.00 peratus, dengan perbezaan 1 peratus markah yang diperolehi Jaclyn Victor (67.00 peratus) di tempat kelima.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI