fbpx

Sektor agromakanan kekal positif walau pasaran ekonomi mencabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah (tengah) ketika hadir pada majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya, Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

IPOH – Prestasi pertumbuhan sektor agromakanan negara kekal positif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan domestik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan signifikan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu sebanyak RM173.9 bilion atau 11.5 peratus.

Katanya, nilai ditambah itu meliputi pengeluaran agromakanan dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.

“Begitu juga dengan trend peningkatan defisit perdagangan dalam sektor agromakanan bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Bagaimanapun, kebergantungan negara kepada import makanan merupakan cabaran yang perlu ditangani bagi meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara.

“Kebergantungan import makanan yang tinggi mencecah RM75.5 bilion direkodkan pada tahun 2022,” katanya dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Menurut beliau, potensi sektor agromakanan perlu dikembangkan sebagai salah satu penyumbang utama ekonomi negara.

Jelas beliau, fokus kerajaan Madani masa kini berada dalam landasan yang tepat untuk mengangkat dan memartabatkan sektor agromakanan.

“Keterjaminan makanan diberikan tumpuan khusus dalam Agenda Mampan Belanjawan 2024 yang bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat.

“Belanjawan Madani kedua ini merupakan cerminan kepada usaha memperhebat kelangsungan industri agromakanan negara bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan import,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dalam menyediakan insentif secara inklusif kepada pengeluar makanan antaranya inisiatif khusus subsidi padi dan pesawah serta inisiatif khusus subsidi dan insentif nelayan.

Malah beliau berkata, menerusi Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan, peruntukan sebanyak RM400 disediakan bagi memberi tumpuan khusus untuk meningkatkan pengeluaran makanan
tempatan yang masih bergantung kepada sumber import.

“Selain itu, Agrobank turut menyediakan kemudahan pinjaman kepada pengusaha agromakanan dengan ketersediaan dana sehingga RM430 juta bagi menyokong peningkatan kapasiti pengeluaran pertanian dan daya saing agropreneur muda.

“Inisiatif lain pula adalah membabitkan perlindungan hasil petani, penternak dan nelayan yang berhadapan dengan musibah bencana melalui Tabung Bencana Pertanian dan Skim Takaful Tanaman Padi,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI