SATU perhimpunan secara maya sebagai tanda solidariti kepada Palestin dianjurkan baru-baru ini menerusi platform permainan video terkenal, Roblox yang mendapat penyertaan kanak-kanak dan remaja Malaysia.
Perhimpunan anjuran streamer dikenali Cikgu Zyd atau nama sebenarnya, Afiq Mat Zaid, 32, menerusi server Dataran Tanjung Mas, Muar, Johor.
Menariknya, server itu ‘dibina’ seorang pelajar tingkatan tiga dari Muar yang kemudiannya dijadikan sebagai lokasi perhimpunan tersebut.
Himpunan itu menarik perhatian dunia apabila ramai pengguna TikTok dari luar negara yang terharu dengan semangat anak-anak Malaysia terhadap Palestin.
Banyak agensi berita luar negara turut melaporkannya. Bahkan, ada ibu bapa memuji usaha itu dan mahu anak mereka yang bermain Roblox menyertai himpunan tersebut.
Penyertaan golongan itu yang menyatakan sokongan kepada Palestin menunjukkan mereka sedar dengan situasi yang berlaku di Gaza ketika ini.
Seperti yang dinyatakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, inisiatif itu membuktikan bahawa kanak-kanak dan remaja prihatin terhadap Palestin.
“Cetusan idea ini bagi saya amat luar biasa, dikembangkan dalam bentuk demonstrasi melalui permainan video. Ini sebahagian daripada solidariti yang ditunjukkan rakyat Malaysia.
“Bahkan kanak-kanak ini juga mengajak seluruh rakyat Malaysia dan ‘merebak’ ke seluruh dunia,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosialnya baru-baru ini.
Sebenarnya, terdapat bermacam cara yang boleh dilakukan ibu bapa dalam memberi kesedaran kepada anak-anak antaranya mendedahkan ilmu dan sejarah Palestin selain menerangkan tindakan kejam Israel terhadap Gaza.
Membawa anak dalam pelbagai program berkaitan Palestin terutama ketika masih kecil, juga salah satu cara menyuntik semangat mencintai tanah terletaknya Masjid Al-Aqsa iaitu kiblat pertama umat Islam.
Isu Palestin melangkaui agama kerana bukan hanya orang Islam, bahkan penganut Kristian Palestin juga terkesan.
Justeru, ia isu kemanusiaan berhubung pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan penduduk Palestin.
Langkah Kementerian Pendidikan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah seluruh negara dengan penyertaan murid-murid harus dipuji bagi membolehkan mereka lebih memahami dan terus menerus mencintai Palestin.
Penyelidik Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia, Ustazah Nur Anis Bahrin berkata, ibu bapa berperanan penting dalam mendidik dan mencipta generasi anak-anak yang akan mempertahankan agama Islam dari generasi kepada generasi akan datang.
Oleh itu, beliau menyarankan supaya anak-anak didedahkan dengan cerita sejarah Palestin dan menanam jiwa ‘Al-Quds’.
“Mempelajari sejarah kenapa kita perlu mencintai Palestin, apakah kelebihan Masjid Al-Aqsa, membuat aktiviti bersama keluarga berkaitan Palestin dan menaikkan semangat membela Palestin dan Masjid Al-Aqsa.
“Seterusnya mengajar mereka menyokong akan kebenaran, menceritakan tentang kemuliaan, keistimewaan dan kelebihan orang yang berjuang dan mati syahid. Kemenangan hanya milik Allah SWT.
“Sedia tabung di rumah untuk Palestin dan pejuang Islam selain menghidupkan budaya di rumah dengan sentiasa mendoakan pejuang di Palestin,” katanya.
















