fbpx

Platform bantu banduan wanita mulakan hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Program Wanita Bangkit Bersasar akan diperluaskan ke penjara bagi membantu banduan wanita berkemahiran memulakan hidup baharu selepas diberi PBSL.

DALAM usaha membantu banduan wanita menjana pendapatan selepas diberikan Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL), kerajaan bercadang melaksanakan Program Wanita Bangkit Bersasar, sekali gus membela nasib golongan terbabit.

Menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program wanita bangkit itu sudah dilaksanakan pihaknya sejak tahun lalu dengan menyasarkan golongan wanita khususnya suri rumah berpendapatan rendah (B40).

Katanya, melalui program tersebut, golongan berkenaan boleh menyertai aktiviti keusahawanan dan ia akan diperluaskan kepada banduan wanita yang bakal dibebaskan secara berlesen.

“Menerusi program ini yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Penjara, banduan wanita bakal diberikan insentif RM500 secara one-off dan bantuan peralatan bernilai RM2,700.

“Ia bagi membantu mereka memulakan perniagaan berdasarkan kemahiran dipelajari ketika berada di dalam penjara.

“Sewaktu mengadakan lawatan di penjara, kita dapati program Wanita Bangkit yang ingin dilaksanakan ini mampu mencapai sasarannya.

“Insya-Allah, ini mungkin akan menjadi satu program baharu buat kementerian dan Jabatan Penjara hasil daripada lawatan ini,” katanya.

Nancy berkata demikian ketika melawat Penjara Wanita Kajang, Selangor baru-baru ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad.

NANCY sewaktu melawat bengkel menjahit di Penjara Wanita Kajang, Selangor baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, Nancy meluangkan masa melawat taska, bengkel salon, bengkel jahit, sekolah integriti, katering dan bengkel mencanting batik.

Sementara itu, Nordin berkata, pihaknya menyambut baik cadangan pelaksanaan inisiatif itu yang boleh memberikan peluang kedua kepada banduan selepas dibebaskan secara berlesen kelak.

“Secara keseluruhannya, terdapat seramai 3,885 banduan wanita di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, dianggarkan lebih 1,000 saja banduan tempatan, manakala selebihnya warga asing.

“Dianggarkan hanya 10 peratus iaitu antara 100 hingga 200 banduan wanita akan dibebaskan secara berlesen pada satu-satu masa. Golongan ini yang kita mahu bantu dengan menghulurkan bantuan supaya mereka boleh menjana pendapatan sendiri dan mendapat penempatan pekerjaan bagi memulakan kehidupan baharu kelak,” katanya.

Nordin menambah, perkara yang dititikberatkan pihaknya adalah penempatan bagi banduan yang dibebaskan dari penjara.

“Apa yang kita mahukan adalah banduan yang dibebaskan tidak masuk semula ke dalam penjara.

“Disebabkan itu, kita mahu menjadikan penjara sebagai Pusat Pembangunan Peradaban Budaya.

“Menerusi inisiatif itu, kami ingin memberikan mereka kemahiran supaya boleh menjana pendapatan apabila dibebaskan nanti,” ujarnya.

Setakat ini, seramai 1,044 banduan wanita termasuk 428 banduan warga asing ditempatkan di Penjara Wanita Kajang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI