fbpx

Penerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar diberi RM200,000 tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. Noor Azman (tengah) bergambar selepas menyempurnakan pelancaran Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2023 di Kompleks Perbadanan Putrajaya, hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Sebanyak RM200,000 geran bakal diberikan kepada penerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar, Malaysia Urban Planning Awards (MUPA) melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), mulai tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M. Noor Azman Taib berkata, ini merupakan kaedah dan pendekatan baharu kementerian bagi membolehkan sesuatu perancangan berkaitan pembangunan bandar pintar dapat dilaksanakan oleh PBT.

“Selama ini, bila kita ada anugerah-anugerah sedemikian seperti bandar pintar, kerana dibawah KPKT dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) banyak kita mengiktiraf satu-satu perkara di peringkat PBT terutamanya.

“Biasa bila dapat anugerah kita akan beri sijil, pengiktirafan dan sebagainya. Saya lihat pendekatan baharu kita perlu sertakan mereka ini dengan geran.

“Contohnya bandar pintar, bila dapat geran RM200,000, dia (PBT) buat program atau projek yang berkaitan subjek…dia dapat dan laksana projek-projek yang berkaitan bandar pintar” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2023, di sini hari ini.

Jelasnya lagi, buat masa ini pihak KPKT menumpukan kepada kategori berkenaan terlebih dahulu sebelum ia diperluaskan kepada kategori yang lain pada MUPA akan datang.

Dalam pada itu, M. Noor Azman dalam ucapannya pada perasmian itu berkata, tema HPBS pada tahun ini merupakan ‘Malaysia Madani, Komuniti Sejahtera’ adalah selaras dengan gagasan baharu kerajaan dalam membangunkan Malaysia Madani.

Jelasnya, bidang kuasa yang digariskan oleh KPKT dalam memperkasa komuniti ke arah penglibatan aktif komuniti melalui tadbir urus bandar untuk pembangunan dan kehidupan yang sejahtera.

“Tujuh bidang fokus baharu KPKT telah saya gariskan dan antara berkait rapat dengan profesion perancangan bandar adalah bidang fokus ke empat iaitu pemerkasaan komuniti tanpa mengira kaum dan bidang.

“Manakala bidang fokus ke enam adalah memperkukuh agenda bandar mampan dan pintar ke arah perbandaran baharu.

“KPKT komited merancang dan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara serta memberi manfaat kepada rakyat dalam menikmati kehidupan yang berkualiti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI