fbpx

Projek rintis agensi tunggal kawal sempadan mula tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUDDIN (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mihd Zain (dua dari kanan) dan Pengarah Urusan PIJ Holdings Sdn Bhd, Abdul Alim Abd Syukor (dua dari kiri) di kawasan Perindustrian Tampoi, Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Projek rintis agensi tunggal kawal sempadan (SBA) dijangka akan memulakan operasi secara berfasa di beberapa lokasi pintu sempadan negara bermula tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut sedang dibincangkan ketika ini termasuklah melibatkan struktur organisasi dan juga penjawatan pegawai dan kakitangan.

Menurut beliau, KDN telah dipilih sebagai kementerian peneraju bagi pelaksanaan usaha tersebut selepas ia diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024, bulan lalu.

“Ada tiga tujuan utama pelaksanaan agensi tunggal kawal sempadan iaitu koordinasi antara pelbagai agensi kawal selia, kedua meningkatkan kecekapan sistem penyampaian apabila pelbagai agensi bersatu dan ketiga isu integriti.

“Terdapat sejumlah 141 pintu sempadan yang digazetkan di negara ini dan agensi berkenaan akan bertanggungjawab di kesemua lokasi. Sebagai permulaan, beberapa lokasi akan dipilih untuk pelaksanaan projek rintis entiti berkenaan bermula tahun depan.

“Selepas itu kita akan lihat bagaimana perjalanannya dan kemudian ia akan mula dilaksanakan di kesemua 141 pintu sempadan secara berfasa,” katanya ketika menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Secara En Bloc Pangsapuri Aliff Sejahtera Johor Bahru Sebagai Kuarters Jabatan Imigresen Malaysia, di Tampoi, di sini hari ini.

Tambah Saifuddin, kejayaan penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan dijadikan model bagi penubuhan agensi tunggal kawal sempadan berkenaan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, Anwar mengumumkan penubuhan SBA sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan khususnya di pintu sempadan negara.

Sementara itu, berhubung program tersebut, beliau turut memberitahu KDN komited menyediakan kediaman perumahan selesa dan berkualiti buat pegawai dan kakitangannya termasuklah melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Pembelian tersebut melibatkan kos berjumlah RM41.08 juta yang merangkumi 72 unit pangsapuri perkhidmatan, lapan unit ruang kedai, 11 unit pejabat dan pelbagai kemudahan lain berkaitan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI