fbpx
KUGIRAN MASDO

Kugiran Masdo takut kena ‘makan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA awal kemunculan, keberadaan Kugiran Masdo yang menghidangkan muzik era 1960-an pernah dipertikaikan ramai sehingga ada yang menidakkan kemampuan kumpulan tersebut.

Hari demi hari, lagu-lagu hasil tulisan serta dendangan kumpulan yang dianggotai Ali Sariah selaku vokalis, Azham Ahmad (dram), Putu Ceri (bass) dan Asmawi (gitaris) berjaya meruntuhkan tembok stereotaip industri muzik tempatan.

Luncurlah apa sahaja lagu, pasti akan menjadi siulan ramai dan berjaya menembusi corong-corong radio sehingga mengungguli carta muzik tempatan.

Paling menjadi fenomena sehingga hari ini ialah lagu Dinda yang dilancarkan sekitar tahun 2019. Paling membanggakan, lagu tersebut berjaya menembusi pasaran muzik Indonesia dan menjadi kegilaan pencinta muzik di sana. Begitulah penangan muzik ‘old school’ Kugiran Masdo.

KUGIRAN Masdo juga mencipta nama di Indonesia menerusi single Dinda yang mencetus fenomena luar biasa di negara seberang tersebut.

Magis Dinda

Tidak mendabik dada dengan kejayaan yang dikecapi hari ini, Ali memberitahu tidak pernah meletakkan sebarang sasaran sebelum melancarkan sesebuah lagu apatah lagi menjadikan populariti sebagai deras motivasi.

Katanya, tiada ramuan istimewa digunakan dalam karya-karya ciptaan mereka yang tular dan menjadi kegilaan ramai hari ini.

“Hendak kata magis atau ramuan khas untuk setiap lagu memang tiada tetapi kami mementingkan soal rasa.

“Sebagai penulis lirik dan komposer, apabila hasilkan lagu sendiri, perlu ‘rasa’ emosinya dahulu. Jika elemen itu tidak wujud, maka tidak berjayalah karya tersebut,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Bercerita lanjut, selain jiwa dan rasa, mesej yang diketengahkan dalam setiap lagu juga memainkan peranan penting bagi memastikan karya dihasilkan tidak lapuk ditelan dek zaman.

Elemen atau suntikan malar segar juga antara yang dititikberatkan oleh Masdo yang mula mencipta nama sejak tahun 2015 itu.

“Kebanyakan lagu kami berkisarkan tentang kehidupan dan hubungan percintaan zaman muda-mudi.

“Barangkali mungkin itu yang membuatkan peminat tersentuh dan dapat kaitkan dengan diri sendiri sehingga menyebabkan lagu tersebut bertahan lama selain menepati kriteria ‘evergreen’ (malar segar),” ujarnya.

Lagu Dinda menjadi siulan di seluruh Nusantara termasuk Indonesia, Singapura dan Brunei, itu adalah kejayaan yang sememangnya tidak disangka-sangka Ali sebagai ketua kumpulan Masdo.

“Contohnya lagu Dinda, saya pun tak tahu apa magisnya kerana viral berulang kali di Malaysia, Indonesia, Singapura. Seperti satu fasa yang tidak berkesudahan.

“Berdasarkan data, Dinda antara lagu kami yang paling banyak distrim seluruh dunia bahkan kami seronok lihat anak-anak muda hari ini menikmati karya Kugiran Masdo,” katanya yang turut popular dengan lagu Teruna & Dara dan Bunga.

Pada masa sama, Ali menitipkan rasa syukur dan penghargaan buat para peminat yang tidak pernah berhenti menzahirkan sokongan terhadap mereka selama ini.

“Kami tak pernah meletakkan harapan tinggi untuk lagu kami menjadi popular tetapi hanya berikan kejujuran sahaja.

“Kalau terlampau hendak ikut kehendak orang di luar, memang semua yang kami capai hari ini tidak menjadi realiti.

“Selain semua faktor itu, peminat juga antara salah satu sebab utama kami masih kekal berada di sini sehingga hari ini. Sokongan mereka ternyata memberi impak kepada perjalanan seni Kugiran Masdo,” katanya lagi.

Terkenal dengan jalur muzik 1960-an, Kugiran Masdo mencipta fenomena tersendiri dalam industri seni dan terbaharu, lagu Pujaanku pula menjadi siulan ramai.

Duet

Bercerita tentang single terbaharu mereka, Pujaanku, Kugiran Masdo bersyukur lagu tersebut berjaya mendapat tempat di hati peminat sehingga mengungguli carta penstriman muzik hampir setiap minggu.

“Alhamdulillah lagu ini mendapat sambutan luar biasa dan menjadi lagu Melayu paling banyak distrim dalam platform Spotify. Setiap hari boleh dikatakan sebanyak 40,000 jumlah strim direkodkan,” ujarnya lagi.

Melihat kejayaan lagu duet bersama Aisyah Aziz itu, Putu Ceri berkata, mereka terbuka dalam menerima sebarang kolaborasi dengan penyanyi lain pada masa akan datang.

“Kami terbuka untuk berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi lain tetapi semuanya haruslah mengikut kesesuaian dengan muzik Masdo.

“Namun, kami tidak boleh nak terima secara rawak tetapi perlu mencari titik keserasian dahulu. Jika tiada elemen itu, duet dan lagu tidak boleh ‘pergi’,” jelasnya yang berkata keunikan suara Aishah sebati dengan muzik aliran mereka.

Tegasnya, kehendak tersebut bagi memastikan rakan duet mahupun vokalis Masdo tidak saling ‘menenggelamkan’ antara satu sama lain.

“Harus ada kriteria untuk berduet dengan kami. Bukan hendak demand tetapi karakter seorang penyanyi itu penting. Kalau terlalu hebat sangat pun payah juga, risau dia makan saya semula.

“Jadi, dua-dua perlu seiring dan seimbang. Saling menjaga dan bersatu dengan baik dalam menyampaikan sesebuah lagu,” kongsinya lagi.

KUGIRAN Masdo sangat bersyukur dengan kejayaan diraih terutama menerusi lagu Dinda yang menjadi siulan ramai. – AFIQ RAZALI

Royal Alloy

Sementara itu, mereka juga mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai band tempatan pertama dilamar bekerjasama dengan jenama automotif popular dari United Kingdom (UK), Royal Alloy yang bakal mengeluarkan skuter edisi khas bersama Kugiran Masdo.

Menyifatkan tawaran tersebut ibarat bulan jatuh ke riba, Masdo tidak pernah menyangka produk antarabangsa berminat menjalin kerjasama dengan mereka.

“Memang rezeki terpijak.

“Namun, sebelum tawaran diterima, kami kaji apakah Masdo boleh bawa jenama itu dan adakah ciri motosikal mereka kena dengan identiti Masdo.

“Selepas diteliti, jalinan kerjasama ini berjalan dengan baik dan identiti muzik kami juga sangat bersesuaian dengan produk yang hendak dijual iaitu skuter klasik,” kongsinya teruja.

Tambah Asmawi, mereka juga diberi peluang memberi pendapat dari segi rekaan dan warna untuk skuter edisi Dinda yang buat permulaan hanya dikeluarkan 50 unit.

Ujarnya, kerjasama tersebut dilihat sebagai salah satu kejayaan terbesar dan batu loncatan dalam melebarkan karier mereka sebagai anak seni di peringkat lebih tinggi.

“Ini adalah pencapaian tertinggi Masdo. Terlalu bangga dan terharu kerana berjaya menjalin kolaborasi dengan syarikat automotif bertaraf antarabangsa.

“Berada pada tahap sekarang pun sudah memadai, namun apabila dapat diberi peluang hebat sebegini sudah tentu kami bangga dan takkan lepaskan. Ini luar biasa,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.

MASDO akan mencipta sejarah apabila muncul sebagai band tempatan pertama dilamar bekerjasama dengan jenama automotif popular dari United Kingdom (UK), Royal Alloy yang bakal mengeluarkan skuter edisi khas buat Masdor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN