fbpx

Konsep baharu telefon boleh lentur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TELEFON pintar fleksibel Motorola ini boleh dilentur dan lilit pada pergelangan tangan.

JENAMA produk alat komunikasi, Motorola menampilkan konsep baharu untuk telefon pintar fleksibel.

Telefon itu boleh dilentur dan dililit pada pergelangan tangan seperti gelang serta boleh bertukar warna untuk dipadankan dengan pakaian si pemakai.

Motorola dan syarikat induknya Lenovo memperkenalkan Konsep Paparan Adaptif baharu yang mampu menjadikan telefon berfungsi sebagai jam tangan pintar semasa acara Lenovo Tech World ‘23 baru-baru ini.

Peranti itu digelar telefon pintar boleh pakai pertama di dunia dengan menampilkan paparan HD+ penuh dengan skrin 6.9 inci yang boleh dililit pada pergelangan tangan seperti gelang.

Menurut Ketua Penyelidikan Inovasi Motorola, Lexi Valasek, peranti tersebut dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membantu memadankan ‘e-bangle’ dengan pakaian si pemakai.

“Telefon fleksibel ini turut mempunyai tali berwarna oren yang merupakan tali pergelangan tangan magnetik bagi memastikan ia tidak tergelincir daripada tangan.

“Selain dilentur menjadi gelang, peranti ini boleh dibengkokkan menjadi bentuk ‘L’ dan ditegakkan,” katanya.

Tambahnya, apabila dibengkokkan, peranti tersebut akan menyesuaikan paparan kepada skrin 4.6 inci.

Menampilkan aplikasi AI yang bergaya bagi konsep telefon fleksibel baharu, peranti tersebut disifatkan dapat memenuhi keperluan pengguna masa kini yang mempunyai jadual harian padat.

Kongsi Valasek, peranti bersaiz agak besar itu bertujuan untuk memastikan pengguna mempunyai lebih kebebasan menggunakan telefon terutama pada saat kecemasan.

Boleh dilenturkan untuk diletakkan di meja atau dipakai pada tangan.

Namun begitu, tiada tanda bahawa peranti itu boleh menggantikan jam tangan sukan dan penjejakan kecergasan yang lebih lasak.

Beberapa pemerhati industri juga telah menyatakan bahawa peranti itu merupakan kemajuan yang ketara pada reka bentuk telefon lipat seperti model Motorola Edge 40 Pro.

Perkenalan telefon boleh lentur itu merupakan antara konsep baharu yang turut mengetengahkan keupayaan, ciri dan inovasi baharu AI.

Boleh dilentur di mana-mana bahagian.

Valasek memberitahu, telefon pintar moden sedang mengalami perubahan transformatif dengan AI.

“AI membantu menjadikan telefon anda sebagai pengimbas dokumen mudah alih dan menutup privasi skrin iaitu salah satu ciri baharu yang dilakukan.

“Motorola berusaha membawa teknologi AI ke peringkat seterusnya dengan mempamerkan inovasi peranti yang fleksibel,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI