fbpx

Bekalan lambat, pesawah beli benih padi sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawah terpaksa membeli benih padi sendiri untuk memulakan penamanan ekoran krisis yang melanda pesawah di utara tanah air. – Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Sebilangan pesawah di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Kuala Muda Selatan yang gagal mendapatkan bekalan benih padi sah (BPS) terpaksa membeli sendiri tanaman itu bagi menampung kehidupan masa depan.

Pesawah dari Kampung Sintok Bugis, Kota Kuala Muda, dekat sini, Mohd. Farhan Mohamed, 38, berkata, dia membeli 300 kampit benih padi varieti MR297 sejak 10 hari lalu.

“Namun, ia masih tidak cukup bagi 34.53 hektar sawah yang saya usahakan. Saya berharap dapat bantuan bekalan.

“Sepatutnya kerja-kerja menabur benih telah selesai sejak Oktober lalu,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan proses penanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) musim ini tidak mematuhi ­jadual ditetapkan apabila ­hanya ­merangkumi keluasan 10.6 peratus berbanding me­lebihi 50 peratus jika mengikut jadual asal.

Mengikut jadual penanaman pada musim ini, sebanyak 33,580 hektar kawasan sawah MADA sepatutnya sudah mula ditabur BPS sejak 27 September hingga 11 November ini bagi fasa satu.

Menurut Mohd. Farhan, kebanyakan pesawah terpaksa membeli sendiri benih padi meskipun pada harga tinggi antara RM52 hingga RM54 bagi setiap kampit benih seberat 20 kilogram.

Pesawah Kampung Sungai Emas Kota Kuala Muda, Mohd. Yatim Ismail, 64, berkata, mereka sudah mula menabur benih padi sejak 10 hari lalu.

“Kami dah tak boleh berharap dengan bekalan benih padi sedia ada dan terpaksa beli sendiri benih padi dari luar.

“Krisis benih padi itu sememangnya memberi kesan kepada petani dan seharusnya ia ditangani segera supaya tidak berlanjutan dan menjejaskan bekalan beras negara,” ujarnya.

Sebelum ini, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah mendakwa, PPK di Kedah, Pulau Pinang dan Perak terus sukar mendapatkan bekalan BPS untuk dijual kepada petani pada harga RM45 setiap kampit seperti yang diselaraskan kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI