fbpx

Rakyat Malaysia perlu syukuri keamanan, kebebasan dikecapi negara – Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah rakyat Malaysia perlu mensyukuri dan menginsafi hakikat nikmat keamanan serta kebebasan yang dikecapi negara ketika ini.

Seri Paduka bertitah, nikmat keamanan dan kebebasan negara ketika ini tidak boleh dicemari dengan pelbagai polemik sehingga akhirnya menyemarakkan api permusuhan.

“Sengketa dan peperangan hanya akan meleburkan impian dan masa depan sesebuah negara, sehingga akhirnya mengundang kemusnahan kepada umat sejagat.

“Dunia sedang berhadapan pelbagai krisis yang mempunyai kesan secara langsung terhadap masa hadapan generasi muda. Pada hemat Beta, krisis yang paling menzalimi masa hadapan generasi muda dan dunia ialah konflik bersenjata, persengketaan dan peperangan” titah baginda dalam Titah Diraja pada Majlis Konvokesyen ke-20 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini hari ini.

Baginda bertitah, sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 1945 dunia tidak pernah aman daripada konflik, persengketaan dan peperangan yang meletus di pelbagai pelusuk dunia.

“Walaupun jutaan nyawa terkorban, berlaku kemusnahan harta yang dahsyat, mencetuskan konflik kemanusiaan dan memusnahkan sistem ekologi dunia, namun manusia masih enggan mempelajari dan mengambil iktibar daripada sejarah lampau,” titah baginda.

Sementara itu, Seri Paduka Baginda turut melahirkan rasa dukacita dan kegusaran dengan konflik terkini di Palestin yang mengorbankan ribuan nyawa.

Seri Paduka mendoakan agar Allah SWT melindungi dan mengurniakan kekuatan kepada rakyat Palestin, serta supaya bumi Palestin mendapat kedamaian.

Dalam pada itu, baginda bertitah, pendidikan adalah kekuatan yang boleh menitipkan nilai-nilai murni dan kesedaran untuk menolak sebarang bentuk keganasan.

“Selain daripada berterusan menimba ilmu pengetahuan setinggi yang mungkin, generasi muda negara hendaklah dididik serta diasuh dengan semangat patriotisme yang tinggi, untuk sentiasa berdiri teguh menjulang prinsip kesetiaan kepada Raja dan tanah air tercinta.

“Mereka juga hendaklah diterap dengan nilai-nilai demokrasi yang mempertahankan identiti bangsa, agama, kedaulatan negara dan keluhuran Perlembagaan, agar tanah air tercinta tidak tergadai kepada kuasa asing, yang sentiasa menangguk di air yang keruh,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI