DI Malaysia, masalah kanser payudara merupakan salah satu isu yang sering dibincangkan.
Kanser payudara kekal sebagai penyebab utama kematian akibat kanser bagi wanita di Malaysia.
Berdasarkan Malaysian Study on Cancer Survival (MySCan) pada 2018, dianggarkan lebih daripada sembilan individu meninggal dunia disebabkan kanser payudara setiap hari yang menyumbang kepada 3,500 kematian setiap tahun.
Ketua Pegawai Saintifik, Cancer Research Malaysia (CRMY), Prof. Dr. Teo Soo-Hwang, ketika ceramahnya yang berjudul ‘Pencegahan Kanser Payudara Dalam Kalangan Wanita Asia’, menekankan bahawa kes kanser payudara di Asia semakin meningkat terutamanya disebabkan perubahan reproduktif dan gaya hidup.
“Hari ini, lebih ramai warga Asia meninggal dunia akibat kanser payudara berbanding bahagian lain di dunia.
“Sehingga kini, pencegahan kanser payudara agak sukar kerana kebanyakan penyelidikan kebiasaannya dijalankan di Eropah.
“Jadi, maklumat mengenai pencegahan kanser payudara di Asia adalah terhad, di mana faktor pemakanan dan gaya hidup adalah berbeza,” katanya.
Tambahnya, apa yang penting dalam masalah itu adalah tentang pengesanan awal kanser payudara.
Jika pengesanan awal dilakukan masalah itu boleh dirawat dan diubati.
Di sebalik permasalahan kanser payudara, kajian dijalankan di negara lain pula mendedahkan pengambilan soya yang tinggi mampu mengurangkan risiko kanser berkenaan.
Penemuan sama turut dikesan di China yang melibatkan seramai 300,000 responden wanita. Hal itu dipengaruhi oleh kehadiran sebatian semula jadi dalam kacang soya terutama isoflavone.
Selain kanser payudara, manfaat lain isoflavone adalah melindungi daripada kanser prostat, simptom menopause, penyakit jantung dan osteoporosis.
Oleh yang demikian, menyedari kepentingan untuk meningkatkan kesedaran dan melakukan perubahan membabitkan kanser payudara, Homesoy menyampaikan cek bernilai RM50,000 kepada CRMY baru-baru ini.
Ia sebagai sokongan kepada kemajuan dalam penyelidikan kanser payudara pertubuhan berkenaan.

Dr. Soo-Hwang menjelaskan, berdasarkan kajian yang dilakukan, pengambilan terkini soya yang disarankan adalah antara 80 hingga 120 miligram sehari.
Terangnya, jumlah itu bersamaan dengan dua gelas susu soya atau sekeping tauhu atau tempe.
“Selain itu, kehamilan dan penyusuan bayi memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko kanser payudara.
“Susu kacang soya dengan profil pemakanan unggulnya menyokong golongan ibu dalam perjalanan kehamilan yang sihat .
“Susu kacang soya juga menyokong penyusuan dengan menyediakan kandungan berprotein tinggi termasuk menawarkan rasa lebih baik.
“Ia hadir tanpa gula tambahan dan pertahanan tubuh menerusi serat pemakanan, kalsium dan vitamin A dan D,” jelasnya.
Meskipun begitu, lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi menentukan tempoh tepat untuk wanita mula mengambil makanan berasaskan soya bagi mencegah risiko kanser payudara.
Dr. Soo-Hwang menjelaskan, buat masa ini pihaknya belum mempunyai jawapan kepada persoalan itu.
Sejak empat tahun lalu, pihaknya telah melaksanakan ujian klinikal bagi mengetahui saling kaitan pengambilan susu soya dalam mencegah risiko kanser payudara.
“Kajian yang melibatkan keseluruhan 270 responden wanita sebelum ini telah tertangguh hingga kini disebabkan pandemik Covid-19.
“Malah, kami sudah menjalankan tinjauan rambang kepada 130 responden wanita yang diminta minum dua gelas susu soya sehari atau tablet isoflavone.
“Kami merancang untuk meneruskan semula kajian ini terhadap lebih ramai lagi responden,” jelasnya.
Tambahnya, lebih banyak data berkaitan diperlukan dalam usaha pencegahan risiko kanser itu.
Dalam pada itu, Ketua Unit Nutrisi Soya Ace Canning, Soo Sek Yow menyatakan, kajian saintifik menunjukkan kewujudan kaitan antara pengambilan soya dan pengurangan risiko kanser payudara.
“Penyelidikan menunjukkan bahawa perkaitan ini mungkin disebabkan kehadiran sebatian semula jadi dalam kacang soya khususnya isoflavone, yang tergolong dalam kumpulan phytonutrient.
“Isoflavone secara strukturnya berbeza dan lebih lemah daripada oestrogen manusia. Namun, ia bersaing dengan oestrogen semula jadi, sekali gus mengehadkan aktiviti oestrogen dalam tubuh kita dan membantu untuk mengurangkan risiko kanser payudara,” jelasnya.
















