fbpx

Azeem terima Pingat Jasa Kebaktian (PJK)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azeem. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

IPOH – Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi merupakan antara senarai 238 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-pingat Negeri Perak sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pada istiadat itu, Muhammad Azeem, 19, yang merupakan anak kelahiran Teluk Intan itu akan menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) atas kecemerlangannya memenangi pingat gangsa bagi acara 100 meter lelaki di Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China bulan lalu.

Turut tersenarai menerima PJK ialah dua anak Perak yang meraih pingat gangsa pada kejohanan sama iaitu Shereen Samson Vallabouy, 25, yang memenangi acara 400 meter dan 4×100 meter perempuan selain Muhd. Shafiq Puteh, 28, yang menang acara terjun tiga meter papan anjal seirama.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja,  Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, pada istiadat kali ini, Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Dr. Zulkapli Mohamed mengetuai senarai 238 penerima darjah kebesaran negeri.

Menurut beliau, Wan Zahidi dan Zulkapli dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) dengan membawa gelaran Datuk Seri.

“Bagi Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima, ia dikurniakan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

“Pada istiadat penganugerah itu juga, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Mohd. Zaki Mahyudin menerima Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Mohd. Zahidi, istiadat itu juga akan menyaksikan seramai 13 orang menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

“Turut menerima DPMP, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Yahanis Yahya; Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Presiden Persatuan Hoki Perak, Mohd. Saiyuti Abd. Samat.

“Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Muzafar Shah Mustafa; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Ketua Pegawai Eksekutif CST Auto Group of Companies, P. Chandrasekaran; bekas Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein dan Pakar Kardiologi dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr. Lee Boon Chye,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, lima pegawai tinggi pasukan keselamatan juga akan dianugerahkan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan iaitu Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Sr Dr Zambri Mohamad Rabab; Ketua Perhubungan Antarabangsa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Senior Asisten Komisioner R. Suparamaniam dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan ATM, Brigedier Jeneral Dr Leong Weng Foon.

“Dua penerima lain bagi DPTS ialah Inspektor Jeneral Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Mohd. Fadzli Kamal Mohd. Mahaldin dan Panglima Dua Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Asri Shukor,” katanya.

Tambah beliau, sempena sambutan hari keputeraan kali ini juga, baginda turut mengurniakan 14 Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 29 Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 21 Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 43 Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 60 Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 33 Pingat Jasa Kebaktian dan 15 Pingat Lama Perkhidmatan
(PLP).

“Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan dua sesi di mana sesi pertama melibatkan penganugerahan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran akan diadakan pada Ahad ini.

“Bagi Istiadat sesi kedua pula, ia akan dilangsungkan pada 18 November depan. Kedua-dua sesi istiadat akan diadakan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI