fbpx

MYAirline: Kakitangan lapor polis, MTUC gesa campur tangan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul (tengah) bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung kegagalan syarikat MYAirline membayar 2 bulan gaji yang tertunggak kepada pekerja di IPD Sepang hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

SEPANG – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa campur tangan pihak kerajaan dalam isu membabitkan kakitangan syarikat penerbangan tambah rendah, MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) yang tidak dibayar gaji selama dua bulan sejak September.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, beliau dimaklumkan oleh kakitangan terkesan bahawa syarikat itu turut gagal menyatakan status sebenar mereka sebagai pekerja yang masih tergantung hingga kini.

“Hari ini MTUC mengiringi pekerja-pekerja MyAirline membuat laporan polis berkenaan isu gaji mereka yang tidak bayar.

“Mereka turut meluahkan kekecewaan terhadap syarikat berkenaan yang telah menghentikan operasi secara tiba-tiba.

“Kita lihat pemakluman menghentikan operasi secara sementara terhadap pekerja juga tidak mencerminkan sikap profesional walhal ia adalah sebuah syarikat penerbangan yang melibatkan kepentingan pekerja dan orang awam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini.

Terdahulu, kira-kira 20 kakitangan MyAirline tampil membuat laporan polis selepas mendakwa syarikat berkenaan gagal membayar gaji pekerja selama dua bulan bermula September lalu.

Syarikat itu juga tidak membuat pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial sejak Mei. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI