fbpx

Dewan Perniagaan dan Industri Jerman kongsi kepakaran dengan Majlis TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (duduk) mendengar taklimat ketika mengadakan lawatan di Bosch-Haus di Berlin, Jerman.

PUTRAJAYA – Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (DIHK) bersetuju berkongsi kepakaran dan pengalaman bagi membentuk satu kerjasama bersama Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkongsian kepakaran bersama DIHK itu bagi membantu kerajaan mencipta rangka tindakan unik yang disesuaikan dengan program TVET Malaysia.

Katanya, persetujuan juga dibuat di mana Dewan Perniagaan Jerman Malaysia akan mengetuai menyelaraskan syarikat Jerman di Malaysia dan sebahagian daripada majlis penasihat khusus untuk membina ekosistem TVET di Malaysia.

“Dewan Perniagaan Jerman juga akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan program German Dual Vocational Training (GDVT) yang melibatkan penyertaan industri Malaysia.

“Ini akan membantu menyelaraskan tenaga kerja mahir Malaysia bersesuaian piawaian Jerman seterusnya menjadikan mereka lebih berdaya saing dan diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi satu kenyataan di sini tadi.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil Bosch-Haus serta DIHK menerusi lawatan kerjanya ke Berlin, Jerman.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi TVET Negara berkata, masa depan industri adalah cerah dan kerjasama dengan institusi mantap seperti di Jerman berupaya memangkin ekosistem TVET di Malaysia.

“Kejayaan pelan tindakan itu nanti akan bergantung pada dedikasi, kerjasama yang berkesan dan akses kepada perkongsian kepakaran sedia ada.

“Insya-Allah dengan komitmen dan kerjasama yang utuh, saya yakin seperti di Jerman, Jepun dan banyak negara maju lain, TVET akan menjadi pilihan utama pelajar serta menjadi penyumbang utama kepada tenaga kerja negara,” jelasnya.

Pada lawatan itu, Ahmad Zahid juga berkesempatan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Jerman-Malaysia (GMI) dan TH Brandenburg University of Applied Sciences.

MoU itu bertujuan mewujudkan kerjasama akademik untuk pelajar Jerman A-level (GAPP), meneroka laluan pengajian untuk graduan Diploma GMI, peluang latihan tenaga pengajar (ToT) dan mewujudkan Program Pertukaran Kakitangan GMI. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI