fbpx

5 sekawan ada sebut nama, burukkan Siti Nordiana dalam IG Live

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lan Solo (depan) dan Syura ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang peminat yang juga pengguna Instagram (IG) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa lima sekawan ada memperkata dan memburukkan penyanyi, Siti Nordiana Alias menerusi IG Live lebih satu jam pada Julai 2021.

Nur Afifah Balqis Mohd. Zulqarnaen, 20, berkata, selain Siti Nordiana, lima individu itu juga memburukkan pengurus Siti Nordiana, Mohammad Al Anas Osman, 39.

“Kandungan perbualan IG Live (siaran langsung Instagram) sepanjang tempoh itu berkisar tentang kelakukan buruk dua individu yang saya percaya plaintif (Siti Nordiana) dan pengurusnya (Mohammad Al Anas).

“Ini kerana kedua-dua nama itu berulang kali disebut selain disertakan perangai atau watak buruk yang mereka lakukan,” kata saksi ketiga itu.

Ujar Nur Afifah, selepas mendengar perbualan IG Live kelima-lima individu tersebut, saksi itu meninggalkan kome “Huh” menggunakan akaun Instagramnya.

Mengulas lanjut dalam pernyataan saksi itu, dia mengikuti siaran langsung tersebut kerana meminati dunia hiburan tanah air.

“Justeru saya menunggu dan mendengar siaran langsung (IG Live) atas dasar minat dan keinginan untuk tahu perkembangan artis tanah air,” kata saksi itu.

Sementara itu, dalam pernyataan tambahan, selepas menonton IG Live itu, dia berasa marah dan geram terhadap kelima-lima defendan dan seterusnya memuat naik IG Live itu dalam cakera padat (CD).

Dalam prosiding hari ini peguam Abang Azlan Abang Ariffin mewakili Siti Nordiana. Peguam Azlan Abdul Razak pula mewakili Lan Solo atau Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38, isterinya Nur Sheila Hassim, 38, Zuraidah Badron, 37, atau Syura selaku defendan pertama hingga ketiga.

Sementara peguam Fithril Hakim Ab. Jalil mewakili Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, dan peguam Nur Izzaida Zaman mewakili jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi, 43, sebagai defendan keempat dan kelima.

Pada prosiding terdahulu, Mohammad Anas memaklumkan siaran langsung yang dibuat lima individu memburukkan Siti Nordiana menyebabkan kontrak tiga iklan komersial selebriti itu dibatalkan serta tidak disambung sebagai duta.

Saksi itu turut mengatakan dia juga banyak menerima mesej merujuk kepada siaran langsung Instagram yang memburukkan nama penyanyi itu pada awal pagi 21 Julai 2021 melalui Facebook.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan bersambung pada 24 November ini. Siti Nordiana, 39, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021.

Penyanyi yang dikenali sebagai Nana itu selaku plaintif menamakan Lan Solo, Nur Sheila, Syura, Sam Musyadzafar dan Razidah masing-masing sebagai sebagai defendan pertama hingga kelima.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Justeru beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI