PETALING JAYA – “Emosi saya dan keluarga terganggu apabila memikirkan keadaan tujuh saudara kami di Gaza yang masih gagal dihubungi.”
Itu luahan rakyat Palestin, Obada Yassin, 25, yang mengakui tertekan menunggu perkembangan berita mengenai nasib saudara-mara yang masih hilang sejak bumi Gaza bergolak pada 7 Oktober lalu.
Menurut alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu, setakat pukul 5 petang semalam, kesemua mereka yang merupakan sepupu bapanya masih gagal dihubungi, malah tidak diketahui sama ada masih hidup atau sebaliknya.
“Ada saudara saya masih berada di utara Gaza ketika ini. Kali terakhir kami berhubung pada 7 Oktober lalu, selepas itu tiada lagi panggilan telefon dijawab mesej juga tidak dibalas.
“Kami sekeluarga sudah berkali-kali menghubungi bagi mengetahui nasib mereka di sana, namun gagal.
“Setiap hari kami tonton berita dan membaca perkembangan terkini di media sosial dengan harapan dapat mengetahui perkembangan mereka, namun setakat ini masih tiada petunjuk,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Obada, keadaan di Palestin ketika ini sangat getir ekoran bekalan elektrik, air, makanan, komunikasi terputus selain banyak bangunan di sana juga musnah.
Malah, penduduk di lokasi bergolak tersebut disifatkan sebagai ‘boleh mati pada bila-bila masa sahaja’.
Bercerita lanjut, Obada berkata, Gaza sememangnya sudah dikepung kerajaan Israel sejak sekian lama iaitu pada 2006.
“Semua sempadan dari Mesir dikepung. Makanan, barangan bantuan, elektrik, bahan api dikawal oleh Israel dan tenteranya. Sejak itu, penduduk Gaza tinggal di kawasan yang lemah.
“Keadaan (kepungan) menjadi normal bagi penduduk Gaza sejak 17 tahun lalu tanpa sebarang interaksi dari banyak negara atau bantuan PBB (Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).

“Gaza telah diserang menerusi banyak peperangan sejak 2008 dan 2012, 2014 dan 2021. Yang terbaharu serangan kelima kali ini pada tahun 2023, penduduk kami diserang dari udara, darat dan laut,” kongsi pemuda itu.
Sementara itu, Obada turut berkongsi cerita sedih apabila beberapa rakannya di Gaza yang telah syahid ketika mempertahankan tanah air mereka.
“Salah seorang rakan saya yang berada di Gaza yang mana rumah bapa saudaranya dibom oleh tentera Israel pada Khamis lalu, seramai 11 ahli keluarganya turut terbunuh.
“Keadaan di sana begitu teruk, orang ramai tidak mempunyai tempat untuk berlindung, tiada lagi kawasan selamat untuk mereka (berlindung),” katanya.








