fbpx

1 sudu teh dah cukup, kurang lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelan Advokasi Mengurangkan Gula memberi fokus mengawal pengambilan bahan itu dalam kalangan rakyat Malaysia. -Foto FAIZ ALIF UZIR

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang menggerakkan Pelan Advokasi Mengurangkan Gula sebagai satu inisiatif mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, antara program diperkenalkan menerusi pelan itu termasuk Kempen Kurangkan Gula 2023 dengan slogan ‘Gula: 1 Sudu Teh Dah Cukup, Kurang Lebih Baik, Tiada Terbaik’.

Beliau berkata, pelan itu dibentuk bagi menyampaikan mesej berkaitan gula dan kesannya terhadap kesihatan dapat disebarkan secara meluas di seluruh negara.

“Pelan advokasi ini bermatlamat meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia, dan seterusnya dapat mengawal pengambilan gula harian.

“Pelan ini juga merangkumi kempen kurangkan gula kepada pengusaha gerai yang menjual minuman di Medan Selera di seluruh Wilayah Persekutuan Putrajaya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Kurangkan Gula 2023 di Medan Selera Presint 16, di sini hari ini.

Teks ucapan Dr. Zaliha dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, Datuk Zainal Alhakab Seman.

Katanya, semua sedia maklum bahawa pengambilan gula berlebihan boleh mengundang pelbagai penyakit seperti obesiti, diabetes, karies gigi dan risiko mendapat penyakit tidak berjangkit.

“Kajian pemerhatian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendedahkan trend peningkatan penyakit diabetes iaitu daripada 11.2 peratus (2011) kepada 13.4 peratus (2015) dan meningkat kepada 18.3 peratus (2019).

“Karies gigi dalam kalangan kanak- kanak juga masih tinggi iaitu 76.2 peratus (2000) dan 71.3 peratus (2015) bagi kanak- kanak 5 tahun dan 41.5 peratus (2007) serta 33.3 peratus (2017) bagi kanak-kanak berumur 12 tahun

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia turut menyarankan setiap individu perlu mengambil tidak lebih 7.5 sudu teh gula sehari termasuk dalam minuman dan makanan lain dalam sehari,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI