fbpx

Kerajaan cadang henti bayar EFT kepada Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan bercadang menghentikan pembayaran Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada negeri Kelantan sekiranya cadangan pengubahan Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) diteruskan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana ia tidak selari dengan prinsip pelaksanaan EFT yang diperkenalkan pada tahun 2019 bagi melindungi dan memulihara kawasan penting untuk kepelbagaian biologi termasuk KSAS.

Katanya, sejak tahun 2019 hingga tahun ini lebih RM29 juta telah diperuntukkan kepada Kerajaan Kelantan.

“Pada tahun 2019 Kelantan menerima jumlah peruntukan sebanyak RM5.81 juta, RM5.93 juta (2020), RM5.93 juta (2021) dan RM11.47 bagi tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, di bawah Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menaikkan jumlah peruntukan EFT untuk seluruh negara dari RM150 juta setahun pada tahun ini kepada RM200 juta tahun depan yang sebelum itu EFT adalah RM70 juta setahun.

“Oleh itu, Kerajaan Kelantan sepatutnya memanfaat peruntukan EFT yang telah disediakan dengan melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi,” ujarnya.

Tambahnya, cadangan perubahan Pelan Pembangunan yang melibatkan pengubahsuaian KSAS di Kelantan juga akan menjejaskan usaha-usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi dan tidak selari dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 (DKBK 2022-2030) yang baru dilancarkan pada 24 Oktober lalu.

“Di bawah DKBK 2022-2030, telah digariskan keperluan untuk mengukuhkan perlindungan kawasan penting kepelbagaian biologi sebagai KSAS dalam Pelan Pembangunan di peringkat negeri dan tempatan.

“Ia turut menjejaskan sasaran negara untuk meningkatkan peratusan kawasan perlindungan (protected areas) bagi memenuhi obligasi di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi.

“Selain itu, pengubahsuaian KSAS juga akan memberi impak kepada komitmen Malaysia terhadap Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil, pada tahun 1992, yang beriltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan dicapai,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berharap agar Kerajaan Kelantan menimbang semula cadangan pengubahan Rancangan Pemajuan melibatkan KSAS di negeri berkenaan dan bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan melalui NRECC mengukuhkan pengurusan kepelbagaian biologi negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI