fbpx

3,403 aduan masalah jalan raya menerusi MyJalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN jalan raya berlubang dan tampalan tidak sempurna antara yang kerap ditemui di negara ini. Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sebanyak 3,403 aduan berkaitan masalah jalan raya diterima Kementerian Kerja Raya (KKR) termasuk jalan berlubang, kerosakan papan tanda dan perabot jalan melalui aplikasi MYJalan sejak 1 Ogos hingga 23 Oktober 2023.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua aduan tersebut membabitkan jalan di bawah seliaan kementeriannya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).

Tambah beliau, aduan tersebut juga membabitkan jalan negeri dan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang masing-masing diselia mengikut bidang kuasa kerajaan negeri serta PBT terbabit.

“Hanya 26.8 peratus atau 912 aduan daripada keseluruhan aduan membabitkan jalan kendalian agensi KKR, manakala selebihnya 73.2 peratus atau 2,491 aduan lagi adalah jalan negeri dan jalan PBT.

“Di bawah dasar ‘no wrong door policy’ yang diterapkan dalam aplikasi MYJalan, KKR menerima semua aduan termasuk jalan negeri dan PBT dan tindakan seterusnya diambil kementerian ialah memajukan laporan terbabit kepada pihak bertanggungjawab.

“Langkah ini bertujuan memastikan setiap kerosakan atau isu berkaitan jalan yang dilaporkan oleh pengguna sampai kepada pihak bertanggungjawab dan tindakan sewajarnya diambil dengan kadar segera,” katanya menerusi hantaran pada akaun Facebook miliknya hari ini.

Kata beliau lagi, daripada pecahan 912 aduan jalan yang diselia KKR, sebanyak 275 aduan atau 30 peratus berkaitan jalan berlubang, 20 peratus (187 aduan lampu jalan), 19 peratus (174 aduan jalan rosak) dan 11 peratus (98 aduan lampu isyarat).

“Tujuh peratus atau 64 aduan yang turut diterima melalui aplikasi itu berkaitan garisan jalan, lima peratus (49 aduan halangan), tiga peratus (23 aduan papan tanda), satu peratus (lima aduan tanah runtuh) serta masing-masing dua peratus aduan berkaitan aduan kemudahan awam (21) dan 16 aduan perabot jalan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 676 aduan sudah diselesaikan oleh agensi KKR dalam tempoh satu hingga 30 hari, manakala 236 aduan sedang dalam proses tindakan,” katanya.

Alexander berkata, daripada statistik yang diperoleh melalui aplikasi MYJalan, jelas sebahagian besar aduan membabitkan jalan yang bukan di bawah kendalian KKR iaitu jalan seliaan kerajaan negeri dan PBT.

Justeru, katanya, selari konsep Malaysia Madani di bawah Kerajaan Perpaduan, kementeriannya akan terus meningkatkan kerjasama dengan pihak berkaitan lain bagi memastikan aduan melalui aplikasi MYJalan disalurkan kepada mereka supaya tindakan sewajarnya dapat diambil, selain mengenal pasti penambahbaikan boleh dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Saya akan mengadakan perbincangan bersama kementerian lain selari prinsip ‘whole of Government approach’ kerana saya percaya, isu berkaitan jalan raya boleh dikendalikan lebih baik dan pantas melalui kerjasama baik dan rapat antara semua pemegang taruh terutama KKR, kerajaan negeri, PBT dan pengguna jalan raya,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI