‘MENGGILA’ dengan profesion penyanyi dan komposer tetapi amatur apabila beraksi di hadapan kamera sebagai seorang pelakon. Itu cabaran yang disahut jejaka berimej ‘oppa’ Hael Husaini apabila muncul sebagai bintang utama naskhah bersiri, My Famous Ex-Boyfriend.
“Ilmu lakonan saya langsung tiada. Sifar.”
Ayat itu berulang kali terbit daripada bibir Hael Husaini yang kini sudah menerjah dunia lakonan apabila muncul sebagai pemain watak utama menerusi naskhah, My Famous Ex-Boyfriend.
Meskipun masih dalam skop dunia hiburan, keputusannya untuk bergelar pelakon adalah satu titik permulaan yang memberi impak besar terhadap lembaran kerjayanya.
Hael sendiri tidak pernah teringin bergelar pelakon.
Kini, figura yang popular menerusi lagu Jampi itu melawan arus bagi menyerlahkan kelainan diri di mata khalayak.
Berkongsi detik ‘perkenalan’ dengan dunia lakonan, pemilik nama penuh Hal Husaini Razmi itu mulanya menyangka dihubungi pihak produksi untuk menjayakan lagu runut bunyi drama tersebut tetapi sangkaan jauh meleset.

Cabar diri
“Saya langsung tiada bakat dalam bidang lakonan. Pada awalnya saya sangka dipanggil untuk menyanyikan OST untuk drama ini tetapi lain pula jadinya.
“Tiba-tiba, saya diminta untuk membaca skrip dan kemudian mereka kata saya sesuai dengan watak tersebut. Memang terkejut,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Lelaki berusia 35 tahun itu juga mengakui perasaan risau mula berlegar dalam benak fikirannya tatkala diberikan tawaran berlakon.
“Memang agak ragu-ragu untuk terima pada awalnya tetapi syukur semua pihak, termasuk barisan pelakon dan pengarah sebab banyak membantu saya.
“Saya juga ada hubungi rakan artis lain seperti Nabila Huda untuk dapatkan nasihat dan dia minta saya mencuba.
“Nabila kata, ini peluang sekali seumur hidup, jadi kena cuba, yang penting ikhlas dan lakukan sebaik mungkin selain jangan susahkan orang lain di set penggambaran,” katanya lagi.
Berkongsi pengalaman berada di set penggambaran, Hael mengakui tahap pengetahuannya mengenai dunia lakonan sangat minimum terutama berkaitan jenis-jenis sudut rakaman kamera.
“Ketika pengarah kata action, saya faham lagi tetapi apabila sudah masuk hal lebih teknikal seperti wide shot atau close-up, memang pening.
“Syukur ada pengarah yang sangat membantu orang baharu seperti saya. Saya tak kisah ‘ditoman’ (dimarahi) sebab semua itu tentang ilmu.
“Jiwa sebagai pelakon memang tiada sebab sebelum ini, dunia saya hanya dalam studio rakaman,” kongsinya.
Tidak mampu menyorokkan muka daripada dilempar sebarang kritikan, anak kelahiran Negeri Sembilan itu terbuka menerima apa sahaja komen daripada penonton berhubung mutu lakonannya.
Hael tidak menafikan tahap keyakinan dirinya semakin bercambah selepas menceburkan diri dalam dunia lakonan.
“Bidang lakonan sangat membantu saya meningkatkan keyakinan diri. Kalau hendak benci lakonan saya pun okey, saya tak kisah dikritik.
“Saya cuba sebaik mungkin dan beri saya peluang untuk belajar dalam dunia yang masih asing ini,” pintanya.

Hero ‘lembut’
Dilabel sebagai hero lembut adalah satu hal yang sensitif bagi segelintir pelakon apatah lagi buat individu yang baru mahu mula menapak dalam dunia lakonan.
Hael juga tidak terlepas daripada dilabel sebegitu selepas tular video promosi drama My Famous Ex-Boyfriend dalam media sosial baru-baru ini.
Tidak melenting, dia menganggap perkara tersebut sebagai asam garam dalam dunia seni dan hanya menjalankan tugas sebagai pelakon.
“Dilemparkan komen negatif mahupun positif bukan perkara asing dalam hidup saya sebagai seorang anak seni sejak sedekad lalu.
“Saya sudah lali dikecam dengan pelbagai komen negatif dan kita tidak boleh kawal apa orang nak cakap.
“Saya sedar bahawa bukan semua orang suka kita dan dalam pada masa yang sama, perlu ingat, tetap ada yang sayang dan peduli tentang kita,” ujarnya lagi.
Bekas peserta Akademi Fantasia itu juga berkata, segala kritikan, penting baginya untuk menambah baik mutu lakonan selepas ini.
“Perkara negatif kita jadikan pengajaran.
“Sebagai seorang selebriti terutama pelakon baharu, memang saya kena terima apa sahaja kritikan untuk memperbaiki kelemahan.
“Kalau dibalas nanti akan lebih berpanjangan dan anggap sahaja mereka yang komen sebegitu mahu melihat sesuatu yang lebih baik daripada kita,” katanya dalam nada positif.

Palestin
Sempat ditebak isu berkaitan sokongan selebriti terhadap Palestin yang baru-baru ini menjadi bahan perdebatan ramai, Hael berkata, dia sangat ‘berdedikasi’ dalam menyuarakan solidariti terhadap golongan yang tertindas.
“Kita tolak ke tepi hal kerja dan sebagainya ketika ini sebab isu Palestin ini adalah melibatkan isu kemanusiaan serta nyawa manusia yang tidak berdosa.
“Saya yakin, semua (selebriti) menjalankan tugas masing-masing sama ada dilakukan secara terbuka mahupun tertutup.
“Semua ada cara tersendiri bagi menunjukkan solidariti terhadap mereka yang ditindas di Palestin,” kongsinya.
Baginya, mempunyai pengaruh peminat dan memiliki jumlah pengikut media sosial yang ramai merupakan markah tambahan buat dirinya dalam menyebarkan isu-isu sebegitu.
“Sebagai seorang selebriti, saya sudah melunaskan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Malaysia adalah negara yang bagus dalam memberi sokongan buat Palestin.
“Dalam media sosial, saya juga terbuka untuk berkongsi tentang isu-isu sedang hangat diperdebatkan.
“Sebagai seorang selebriti, saya memiliki sedikit bonus kerana mempunyai platform yang ada ramai pengikut. Jadi, saya gunakan pengaruh untuk sebarkan kesedaran dan semua yang terbaik menerusi media sosial,” jelasnya menutup bicara.















