fbpx

Kolej Uniti tawar program halal kepada siswa antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIR HAMZAH (dua kiri) menyampaikan cederamata kepada Zulfadhli (dua dari kanan) selepas majlis perasmian reruai Kolej Uniti Port Dickson dan Uniti Halal Centre di Ekspo Halal Indonesia 2023 di Jakarta semalam.

JAKARTA – Kolej Uniti Port Dickson akan memperkenalkan program pengajian jangka pendek berkaitan halal kepada pelajar antarabangsa khususnya dari republik Indonesia bermula tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Uniti Port Dickson, Amir Hamzah Md. Isa berkata, program pengajian di bawah inisiatif Mobiliti/ Edutourism itu bukan sahaja akan membantu kerajaan meningkatkan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia, malah mengembangkan potensi halal dalam kalangan industri tempatan.

Katanya, program yang bakal dijenamakan sebagai Halal Edutourism itu akan memberi peluang kepada pelajar terlibat merasai pengalaman menuntut di kampus Kolej Uniti Port Dickson dan pada masa sama, mengetahui secara langsung ekosistem pensijilan halal yang dilaksanakan di Malaysia.

“Selain berkunjung ke lokasi pelancongan menarik, kami juga merancang membawa pelajar terbabit ke restoran-restoran halal popular dan menginap di hotel yang mempunyai pensijilan halal.

“Melalui pendekatan seperti ini, mereka akan melihat bagaimana dan sejauh mana sistem pensijilan halal di Malaysia dipraktikkan secara menyeluruh iaitu bukan sahaja melibatkan makanan dan minuman semata-mata,” katanya selepas majlis perasmian reruai Kolej Uniti Port Dickson dan UNITI Halal Centre di Ekspo Halal Indonesia 2023 di Jakarta Convention Centre bermula 25 hingga 29 Oktober.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Atase Pendidikan Education Malaysia (EM) Indonesia, Zulfadhli Hamzah.

Jelas Amir Hamzah, program Halal Edutourism tersebut akan dilaksanakan oleh pasukan Pusat Kecemerlangan Halal Uniti atau Uniti Halal Centre (UHAC) yang terdiri daripada pakar-pakar pensijilan halal negara.

“Kolej Uniti Port Dickson yang terletak di Tanjung Agas merupakan IPT pertama di negara ini yang menawarkan program pengajian Diploma Pengurusan Industri Halal pada 2013.

“Kolej itu juga diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai Penyedia Latihan Halal yang mendapat perakuan Majlis Halal Malaysia pada 2017.

“Melalui UHAC, kami aktif menawarkan kursus pensijilan profesional halal termasuk Halal Executive, Halal Internal Auditing dan Halal Competency,” katanya.

Amir Hamzah memberitahu, Kolej Uniti Port Dickson menerima banyak permintaan daripada pelajar antarabangsa terutama di rantau Asia Tenggara, China, Asia Timur dan Asia Tengah khususnya negara yang penduduk majoriti umat Islam untuk mengikuti program jangka pendek berkaitan halal.

Dalam pada itu, Zulfadhli memberitahu, EM Indonesia mengalu-alukan inisiatif terbabit dan pihaknya bersedia membantu dan memudah cara untuk merealisiasikannya.

“Program Halal Edutourism itu sangat berpotensi ditawarkan di republik ini memandangkan sebelum ini, tiada pihak atau IPT termasuk IPTA dari Malaysia menawarkan program seumpamanya.

“Ia sangat menarik dan jika ditawarkan dengan kadar yuran yang berpatutan, ramai pelajar sekolah mahupun universiti di sini akan menyertainya sekali gus menarik minat mereka menyambung pengajian dalam bidang berkaitan halal di Malaysia kelak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI