fbpx

Indeks pencemaran amonia menurun, kawasan perindustrian Ara Damansara dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan yang terjejas dengan kebocoran gas amonia di Ara Damasara malam tadi. Foto ihsan Bomba.

PETALING JAYA – Polis Daerah Petaling Jaya mengesahkan laluan di Taman Perindustrian Jaya, Ara Damansara, di sini, dibuka semula kepada orang awam setelah bacaan indeks pencemaran gas amonia menunjukkan penurunan petang ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bacaan indeks pencemaran telah menunjukkan penurunan ke tahap normal pada pukul 5.30 petang tadi.

“Susulan penurunan itu, kita telah membuka semula laluan masuk ke dalam kawasan perindustrian kepada orang ramai.

“Bagaimanapun, pemantauan secara berkala akan dijalankan oleh Unit Kereta Peronda MPV Polis Petaling Jaya,”ujarnya ringkas kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Kosmo! melaporkan seluruh kawasan di Taman Perindustrian Jaya, Ara Damansara, di sini, ditutup selepas dikesan terdapat kebocoran gas amonia di sebuah kilang memproses ais, semalam.

Mohammad Fakhrudin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 10.30 malam.

Katanya, sepasukan anggota polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bergegas ke lokasi kejadian.

“Susulan itu pihak polis mengambil tindakan menutup keseluruhan Taman Industri Jaya dan tidak membenarkan orang awam pekerja masuk ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, setakat ini tiada mangsa dilaporkan terkesan dengan kebocoran gas tersebut. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI