fbpx

14 telaga tiub selesaikan masalah air penduduk Rantau Panjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli (dua kanan) semasa meninjau tangki simpanan air telaga tiub yang siap dibina di Taman Rantau Mas, Rantau Panjang hari ini. Foto oleh ROHANA ISMAIL/ KOSMO!

RANTAU PANJANG – Kira-kira 10,000 penduduk di daerah ini tidak lagi berdepan masalah bekalan air secara berterusan selepas 14 buah telaga tiub siap dibina di 10 buah kampung bulan lalu.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, pembinaan telaga tiub itu melibatkan kos sebanyak RM291,200 hasil kerjasama MCM dengan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).

Menurutnya, telaga tiub itu dibina di 14 lokasi antaranya di Kampung Luar Gual Periok, Kubang Kual, Gual Sok Sek, Bukit Tandak dan beberapa buah kampung di sekitar daerah ini.

“Projek pembinaan telaga tiub itu dilaksanakan di kawasan taman perumahan, sekolah dan masjid sekitar daerah Rantau Panjang.

“Penduduk kawasan taman, pelajar sekolah dan jemaah masjid akan menerima manfaat daripada pembinaan projek ini. Pembinaan telaga tiub itu sebagai alternatif kepada penduduk di sini yang sering menghadapi masalah bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Water2Survive di Dewan Serbaguna Taman Rantau Mas di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Jabatan Kumpulan Pengurusan Shariah BPMB, Nor Ain Mohd. Amin.

Mengulas lanjut, Zulkifli memberitahu, setiap telaga tiub dibina dengan kedalaman 100 meter bagi memastikan sumber air bersih diperoleh dan tiada bendasing.

“Ada kawasan yang tiada air semasa kerja-kerja penggalian tanah dijalankan sehingga kami perlu mencari lokasi lain. Keadaan itu juga menyebabkan berlakunya peningkatan kos.

“Projek ini mengambil masa selama lebih setahun apabila ia bermula pada Jun tahun lalu dan siap sepenuhnya September lalu. Projek membina telaga tiub itu akan diperluaskan ke kawasan lain bergantung kepada dana yang diterima,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI