fbpx

Dewan Rakyat: Ahli Parlimen dilarang label individu lain kafir, Zionis, Yahudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat melarang perkataan kafir, Zionis dan Yahudi ditujukan kepada mana-mana Ahli Parlimen semasa persidangan sedang berlangsung.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Abdul Johari Abdul berkata, beliau tidak akan bertolak ansur dan mengambil tindakan jika perkataan itu digunakan lagi.

“Saya dapati ada hujah dan kenyataan yang mendorong ke arah perkara-perkara sensitif yang menguris hati yang mengeruhkan suasana dan menyentuh keharmonian.

“Bersifat `label-melabel’ antara kita termasuk perkataan seperti kafir, Zionis dan Yahudi antara Ahli-ahli Yang berhormat.

“Peraturan mesyuarat adalah salah menggunakan perkataan yang menaikkan perasaan sakit hati atau bermusuhan.

“Jadi saya gesa hentikan apatah sekarang dalam keadaan suasana yang tidak kondusif langsung yang mengeruhkan suasana dan menyentuh sensitiviti keharmonian,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Johari berkata, setiap Ahli Parlimen perlu menunjukkan tingkah laku yang terpuji semasa mengetengahkan isu rakyat dan negara.

Menurut beliau, Ahli Parlimen perlu menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak mengunakan Dewan Rakyat sebagai pentas politik.

Beliau turut memberi peringatan supaya isu-isu peribadi yang dilaporkan di luar Dewan Rakyat tidak dibawa dan diungkit dalam Dewan Rakyat.

“Isu peribadi di luar Dewan Rakyat hendaklah diselesaikan di luar Dewan Rakyat. Saya harap mulai hari ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Mohd. Misbahul Munir Masduki (Parit Buntar-PN) bagaimanapun berdiri mempersoalkan larangan penggunaan perkataan kafir terhadap bukan Islam.

“Saya setuju perkataan kafir tidak ditujukan kepada orang Islam, tetapi kalau ditujukan kepada bukan Islam, itu sememangnya istilah dikhususkan kepada bukan Islam,” katanya.

Abdul Johari menjelaskan, terdapat perkataan lain yang lebih enak didengar dan boleh digunakan dalam Dewan Rakyat termasuk ‘orang bukan Islam’.

“Saya faham maksud kafir, tetapi tidak semua orang berasa selesa dengan perkataan itu. Jadi saya mohon dan rayu jangan guna perkataan yang boleh buat mereka berasa sensitif,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI